suria

Malaysia pandang serius dakwaan pembabitan Noordin

PHUKET: Malaysia memandang serius dakwaan bahawa kejadian pengeboman di Jakarta semalam didalangi Noordin Mohammaed Top, dan bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia berhubung isu itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Rastam Mohd Isa berkata Wisma Putra berharap Indonesia akan berkongsi maklumat dengannya tentang pembabitan Noordin, yang dilahirkan di Malaysia, dalam kejadian pengeboman di Hotel JW Marriott dan Hotel Ritz-Carlton itu.

"Kalau ada sebarang maklumat, tolong sampaikan kepada pihak berkuasa kami. Kami ingin tahu mengenainya dan akan beri kerjasama penuh seperti yang diberi selama ini kepada negara jiran dalam perkara berkaitan keganasan," katanya kepada wartawan Malaysia di luar Mesyuarat Para Pegawai Kanan (SOM) di sini.

Bagaimanapun katanya setakat ini tidak ada bukti kukuh mengenainya dan dakwaan itu hanya dilaporkan oleh media, manakala Wisma Putra sendiri belum menerima sebarang permintaan daripada pihak berkuasa Indonesia berhubung perkara itu.

Rastam mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat yang bermula semalam itu, menjelang berlangsungnya Mesyuarat Peringkat Menteri Luar Asean (AMM) ke-42, Persidangan Pasca Peringkat Menteri (PMC)dan Forum Serantau Asean (ARF).

Menteri Luar Datuk Anifah Aman dijangka tiba di sini hari ini.

Agensi berita AFP memetik ketua Bahagian Antipengganas Kementerian Keselamatan Indonesia Ansyaad Mbai sebagai berkata bahawa terdapat bukti kukuh Noordin mendalangi serangan itu.

Polis Indonesia berkata bom buatan sendiri yang diguna dalam kejadian itu mempunyai persamaan dengan yang pernah digunakan dalam serangan sebelum ini, yang dikaitkan dengan Noordin. Pengganas paling dikehendaki di Asia itu dipercayai bersembunyi di Indonesia sejak sekian lama.

Bekas akauntan itu adalah anggota rangkaian kumpulan pelampau Jemaah Islamiyah (JI) dan namanya mendapat perhatian antarabangsa selepas kejadian serangan bom di Bali pada 2002 dan serangan bom di Hotel J.W. Marriott Jakarta pada 2003.

Rastam berkata isu keganasan akan menjadi topik perbincangan pada mesyuarat yang berlangsung di sini.

Pada ARF ke-16 yang akan turut dihadiri Setiausaha Negara Amerika Hillary Clinton, para menteri luar berkenaan akan menerima pakai Pelan Kerja ARF Bagi Menentang Keganasan dan Jenayah Rentas Sempadan.

Pelan Kerja itu merupakan strategi jangka panjang ARF bagi menangani keganasan dan jenayah rentas sempadan dalam semua bentuk serta dilaksanakan dengan kerjasama forum antarabangsa lain.

Tumpuan khusus akan diberi terhadap jenayah berkaitan dadah, keganasan dan keselamatan biologi serta keselamatan dan keganasan komputer. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain