suria

3 lagi mangsa letupan bom Jakarta tiba di Singapura

SINGAPURA: Tiga lagi mangsa kecederaan insiden letupan bom di dua buah hotel di Jakarta semalam tiba pagi ini untuk mendapat rawatan susulan di hospital di sini.

Menurut International SOS, yang membuat aturan itu, mangsa tiba dengan menaiki penerbangan berasingan dengan diiringi oleh pasukan perubatan dari badan bantuan kecemasan antarabangsa itu.

Salah seorang mangsa ialah seorang warga Singapura yang tiba dengan penerbangan komersial pada pukul 9.20 pagi dengan diiringi oleh seorang doktor dan telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini.

Dua lagi mangsa ialah seorang lelaki warga Belanda dan seorang warga Amerika Syarikat yang tiba selepas tengah malam tadi dengan menaiki ambulan udara dengan diiringi oleh seorang doktor dan seorang jururawat.

International SOS juga membantu seorang wanita warga Australia yang tiba secara bersendirian dan dimasukkan ke sebuah hospital di sini.

Sehingga pagi ini, sejumlah enam mangsa kejadian letupan bom di Hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton di kawasan perniagaan utama Jakarta, dimasukkan ke hospital di sini.

International SOS berkata, beberapa lagi mangsa kecederaan dijangka tiba di sini dalam masa beberapa hari lagi.

Sementara itu, Kementerian Luar Singapura berkata, sehingga tengah hari ini, pihaknya masih belum ada pengesahan kematian seorang warga Singapura dalam kejadian itu.

Semalam, dua letupan bom hampir serentak di dua hotel tersebut menyebabkan sembilan orang maut dan sekurang-kurangnya 41 yang lain cedera dalam serangan yang dilakukan oleh pengebom berani mati. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain