suria

8 maut, 50 cedera bom gegar 2 hotel di Jakarta

GAMBAR FAIL... Pemandangan hotel JW Marriott yang dibuka pada September 2003. _ AP
GAMBAR FAIL... Pemandangan hotel JW Marriott yang dibuka pada September 2003. _ AP
GAMBAR FAIL... Pemandangan hotel JW Marriott yang dibuka pada September 2003. _ AP

JAKARTA: Ketua Polis Jakarta, Mejar Jeneral Wahyono berkata, beberapa suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian letupan bom di Hotel JW Marriot di sini pagi tadi telah menginap di hotel tersebut.

Wahyono berkata, suspek menginap di tingkat 18 Marriot di mana bahan letupan itu ditemui selepas dua letupan berlaku di hotel itu dan hotel bersebelahan, Ritz-Carlton.

Wahyono memberitahu kepada wartawan, "Terdapat beberapa pesalah (yang terlibat)."

"Mereka menyamar sebagai tetamu dan menginap di bilik 1808."

Katanya, letupan itu telah mengorbankan lapan nyawa dan mencederakan 50 lagi, termasuk 18 rakyat asing.

Terdahulu, menteri keselamatan berkata, lapan orang maut dalam kejadian itu namun angka kematian itu telah disemak semula oleh pihak berkuasa.

BERITA TERDAHULU

JAKARTA: Kejadian letupan di Hotel JW Marriott dan Hotel Ritz Carlton di sini hari ini dipercayai angkara pengebom berani mati, yang telah mengorbankan sembilan nyawa dan mencederakan sekurang-kurangnya 50 orang.

Sekurang-kurangnya 18 rakyat asing adalah antara mereka yang terkorban dan cedera.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono berkata, serangan itu dilakukan kumpulan pengganas dan memberi jaminan akan menangkap mereka.

Katanya, terlalu awal untuk mengatakan kumpulan militan Jemaah Islamiah yang pernah melakukan serangan seumpama itu di Indonesia termasuk letupan bom di Marriot pada 2003 yang bertanggungjawab dalam kejadian hari ini.

"Sesiapa yang melakukan dan merancang serangan ini akan ditahan dan dibicarakan mengikut undang-undang," kata beliau dalam satu sidang media.

BERITA TERDAHULU

JAKARTA: Menteri Penyelaras Keselamatan Indonesia, Widodo AS berkata, sebanyak sembilan orang mati dalam kejadian letupan di Hotel JW Marriott dan Hotel Ritz Carlton yang terletak bersebelahan kawasan Mega Kuningan di sini pagi ini.

Katanya, kejadian berlaku akibat letupan bom yang kuat yang berlaku sebanyak dua kali, berselang dua minit antara satu sama lain pada 7.45 pagi dan 7.47 pagi waktu Indonesia Barat.

"Ini jenis mempunyai ledakan tinggi," katanya kepada pemberita di depan Hotel JW Marriott tersebut, yang turut diiringi Ketua Polis Indonesia, Bambang Hendarso Danuri, Ketua Badan Inteligen Nasional, Syamsir Siregar dan Gabenor Fauzi Bowo.

Widodo yang dipetik media massa tempatan berkata, letupan pertama terjadi di lobi Hotel JW Marriott dan disusuli letupan kedua di restoran di Ritz Carlton.

Menurutnya, enam orang mati di tempat kejadian di JW Marriott, dua orang di Ritz Carlton dan seorang di Hospital Medistra.

Beliau bagaimanapun belum mahu mengaitkan kejadian dengan sebarang aktiviti pengganas dan sebaliknya mahu ia disiasat dengan terperinci terlebih dahulu. BERNAMA

BERITA TERDAHULU

JAKARTA: Angka kematian kejadian letupan bom dalam jarak beberapa minit di dua hotel di sini pagi ini - Ritz-Carlton dan JW Marriott - meningkat kepada sembilan orang, kebanyakannya dipercayai rakyat asing.

Bilangan mereka yang cedera pula cecah 50 orang, demikian kata Menteri Keselamatan Indonesia.

BERITA TERDAHULU

6 maut, 18 cedera bom letup di 2 hotel di Jakarta

JAKARTA: Angka kematian kejadian letupan bom dalam jarak beberapa minit di dua hotel di sini pagi ini - Ritz-Carlton dan JW Marriott meningkat kepada enam, kebanyakannya dipercayai rakyat asing.

Kira-kira 36 orang dilaporkan cedera dalam kejadian itu yang berlaku pukul 7.55 pagi Jumaat waktu tempatan.

Lobi hotel JW Marriot, yang terletak kira-kira 50 meter dari Ritz-Carlton, turut hancur dan darah banyak kelihatan di kawasan itu.

Pegawai polis dan hospital berkata, enam orang terbunuh.

Dr. Cahyonod dari Hospital Jakarta berkata, enam orang terbunuh dalam letupan di Hotel Ritz-Carlton dan Marriott pagi ini. Agensi

BERITA TERDAHULU

4 maut, bom letup di 2 hotel di Jakarta

JAKARTA: Bom meletup di dua buah hotel di sini hari ini - Ritz-Carlton dan JW Marriott menyebabkan sekurang-kurangnya empat rakyat asing terbunuh.

Ketua pusat krisis Kementerian Kesihatan, Rustam Pakaya berkata, dua yang lain cedera parah termasuk seorang warga New Zealand.

Unit kecemasan sebuah hospital pula berkata, pihaknya sedang merawat 15 orang.

Kolonel polis Jakarta Selatan, Firman Bundi mengesahkan empat warga asing terbunuh dalam kejadian hari ini.

Seorang saksi, Alex Asmasubrata yang sedang joging di kawasan hotel berkenaan berkata, dia mendengar bunyi letupan dari arah Hotel Marriott.

Lima minit kemudian letupan kedengaran dari kawasan Hotel Ritz.

Katanya, dia juga nampak empat mayat di kawasan Hotel JW Marriott.

Hotel JW Marriott pernah diserang pada 2003 mengakibatkan 12 orang terbunuh. Pertubuhan Jemaah Islamiyah dipersalahkan atas kejadian itu. _ AP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain