suria

Saksi pengawal hotel percaya pengebom rakyat tempatan

JAKARTA: Seorang pekerja Hotel JW Marriot, satu daripada dua hotel yang dibom semalam, berkata pengebom bunuh diri di hotel itu ialah seorang rakyat tempatan kerana dia fasih berbahasa Indonesia.

Penyelia Keselamatan hotel itu, Didik Ahmad Taufik, yang turut cedera dan masih dirawat di hospital serta dikategori sebagai seorang saksi utama, percaya lelaki itu penduduk tempatan dan bukan orang asing.

"Pelakunya orang Indonesia, soalnya loghatnya fasih ngomong (bercakap) Bahasa Indonesia," kata Didik dipetik detikcom di Rumah Sakit Jakarta, Sabtu.

Sementara agensi berita Antara memetik Didik sebagai berkata beliau baru sedar lelaki terbabit, yang menjawab beberapa pertanyaannya sebelum itu, disyaki pengebom bunuh diri setelah melihat kamera CCTV.

Menurut Didik lelaki itu berkulit sawo matang, tinggi sekitar 172 sentimeter dan berumur dalam lingkungan 25 hingga 28 tahun. Stesen-stesen TV tempatan sejak semalam menayangkan rakaman CCTV hotel yang menunjukkan seorang lelaki bertopi hampir menutup muka dan berjaket gelap memasuki hotel JW Marriot dengan mengheret sebuah beg dan tidak berapa lama selepas itu terjadi letupan bom, yang membunuh lapan orang.

Sehingga malam ini polis Indonesia masih berusaha membuat lakaran gambar (fotofit) lelaki yang disyaki pengebom bunuh diri itu dan seorang lagi pengebom bunuh diri yang dipercayai meletupkan bom di restoran hotel Ritz Carlton yang berdekatan, dalam jarak waktu dua minit daripada letupan bom pertama di JW Marriot.

Sebuah stesen TV tempatan hari ini menyiarkan pula visual rakaman CCTV di Hotel Ritz Carlton yang menunjukkan seorang lelaki tidak bertopi, berjaket hitam dan membimbit sebuah beg masuk ke restoran hotel itu beberapa minit sebelum letupan terjadi.

Selain kenyataan Ketua Polis Indonesia semalam bahawa kedua-dua bom itu diletupkan oleh pengebom bunuh diri, belum ada kenyataan rasmi mengenai identiti mereka.

Akhbar-akhbar tempatan hari ini dipenuhi dengan berita itu di samping beberapa laporan yang merupakan spekulasi mengenai pengebom terbabit, termasuk yang menyebutkan kemungkinan seorang daripadanya ialah wanita, tetapi petang ini ia dinafikan oleh polis. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain