suria

A (H1N1): Kes baru di Indonesia tambah 15

JAKARTA: Kes influenza A(H1N1) di Indonesia bertambah 15 lagi, menjadikan jumlah mereka yang positif kini 157, kata Ketua Pengarah Pengendalian Penyakit dan Kebersihan Persekitaran, Kementerian Kesihatan Indonesia, Prof Dr Tjandra Yoga Aditama.

Beliau berkata, bagaimanapun belum ada kes kematian akibat virus itu walaupun laporan media massa sebelum ini menyebut kemungkinan terjadi dua kematian yang disyaki disebabkan oleh virus penyakit itu.

"Laporan mengenai kematian penduduk Sumatera Barat kerana diduga diserang virus A (H1N1) tidak tepat kerana ujian makmal menunjukkan hasilnya negatif.

"Dia mati kerana penyakit lain dan bukan selesema babi," katanya kepada Bernama semalam.

Beliau berkata, seorang pesakit lagi belum dapat dipastikan hasil ujian yang dijalankan ke atasnya.

Mengulas persiapan Indonesia menghadapi kemungkinan merebaknya jangkitan virus selesema itu, beliau berkata kementeriannya sudah menyediakan wad-wad pengasingan dan rawatan khas di lebih 100 buah hospital pemerintah di seluruh negara.

Dr Tjandra berkata, Indonesia masih mempunyai bekalan vaksin 'tamiflu' yang mencukupi yang telah diedarkan ke semua hospital, klinik serta pusat kesihatan masyarakat dan akan ditambah mengikut keperluan dan permintaan dari setiap wilayah.

Beliau berkata, selain 100 hospital pemerintah, Kementerian Kesihatan juga sedang mempersiapkan klinik dan hospital swasta untuk menangani kes selesema babi dan selesema burung.

Antara langkah mencegah jangkitan ialah menyediakan topeng penutup mulut secara percuma kepada semua pelawat yang tiba di lapangan terbang dan pintu-pintu masuk lainnya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain