suria

Menteri Luar Thai tolak dakwaan Indonesia tinggalkan Asean

PHUKET: Indonesia, sebuah daripada negara anggota pengasas Asean, tidak mempunyai rancangan untuk meninggalkan Asean atau mengurangkan peranannya dalam perkumpulan serantau itu berikutan kebimbangan bahawa negara anggota lain tidak berusaha sedaya upaya untuk memperkukuhkan perkumpulan berkenaan, terutamanya daripada segi hak asasi manusia.

Menteri Luar Thai Kasit Piromya berkata tidak benar bahawa Indonesia berasa sangat kecewa dengan keputusan akhir Terma Rujukan bagi cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Kerajaan Asean.

"Indonesia sesungguhnya merupakan tunjang kerjasama Asean. Tiada sebarang kekecewaan di pihak mereka, malah kami memperoleh sumbangan positif daripada delegasi Indonesia... semua orang sangat gembira di akhir mesyuarat," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Asean di sini.

Kasit berkata sungguhpun cadangan Indonesia supaya dimasukkan perlindungan dalam Terma Rujukan itu tidak dicapai, Menteri-Menteri Luar bersetuju untuk merangka deklarasi politik berhubung perkara itu untuk diluluskan pada Sidang Kemuncak Asean ke-15 di Phuket pada Oktober ini sebagai satu kompromi.

"Kepimpinan Indonesia sangat penting... Indonesia sangat berbesar hati untuk menerajui Asean melangkah ke masa hadapan.

"Tiada sebarang keraguan tentang kerjasama mereka dan peranan Indonesia sebagai peneraju," katanya ketika ditanya sama ada Indonesia telah meninggalkan Asean dan menumpukan lebih perhatian kepada peranannya dalam G20.

Setiausaha Agung Asean, Surin Pitsuwan berkata Menteri Luar Indonesia Hassan Wirajuda malah telah berjanji untuk meningkatkan sumbangan negara berkenaan kepada Sekretariat Asean yang berpusat di Jakarta, termasuk menaja lebih banyak mesyuarat di sana.

"Perasaan tidak puas hati di peringkat dalaman sememangnya lazim dalam mana-mana fasa kemajuan. Kita patut menukarkannya kepada suatu tenaga yang positif," katanya.

Terma Rujukan itu yang diterima pakai oleh Menteri-Menteri Luar hari ini, dikritik teruk oleh kumpulan masyarakat madani dan dilihat sebagai "tidak bertaring" tanpa memuatkan peruntukan mengenai perlindungan hak asasi manusia, termasuk sekatan terhadap penderaan atau lawatan negara.

Kasit, yang jelas terganggu dengan pelbagai soalan yang dikemukakan pada sidang akhbar sejak beberapa hari lepas yang membidas suruhanjaya itu, berkata setiap pihak perlu memberikan peluang kepada badan itu untuk ditubuhkan dan mencatatkan kemajuan dengan sewajarnya.

"Kenapa anda mengatakan ia tidak akan berkesan? Semua negara telah komited kepada Piagam Asean, terutamanya berhubung badan hak asasi manusia dan mereka mempunyai kewajipan untuk berbuat demikian," kata Kasit.

"Masanya sudah tiba untuk kita berusaha lebih kuat untuk samasama menyelesaikan masalah kita sendiri dalam lingkungan keluarga kita sendiri, tanpa komuniti antarabangsa memberitahu kita apa yang perlu dilakukan. Kita komited kepada ketentuan kita sendiri," katanya. BERNAMA

Artikel Lain