suria

Jadi sebuah komuniti berasaskan tindakan, kata PM Thailand kepada Asean

PHUKET: Sebuah komuniti serantau berasaskan tindakan yang mampu membuat keputusan tegas dan tepat pada masanya, menggantikan perbincangan berlanjutan sepatutnya menjadi jenis "Komuniti Asean pada 2015", kata Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva.

Beliau berkata "komuniti bertindak" perlu tunjukkan kepada dunia bahawa perkumpulan serantau 10 anggota itu, dilaporkan mengadakan lebih 700 mesyuarat setahun, bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran dan bertindak tegas bagi membantu mengukuhkan Asean.

"Asean perlu mampu bertindak tegas dan tepat pada masanya untuk menghadapi ancaman dan cabaran dalam dan luar negara terhadap keselamatan dan kebajikan negara anggota dan rakyatnya. Tindakan efektif perlu menggantikan perbincangan berlanjutan," katanya semasa merasmikan Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean (AMM) Ke-42 di sini.

Menteri Luar, Datuk Anifah Aman mengetuai delegasi Malaysia di sini.

Misalnya, Abhisit berkata jika berlaku penularan pandemik di rantau ini, agensi-agensi kesihatan awam perlu mampu menggariskan langkah kuarantin dan pemeriksaan, berkongsi maklumat dan keputusan makmal, menggerakkan sukarelwan dan vaksin di seluruh rantau melalui prosedur dan peraturan bersama yang dapat diaktifkan dengan kadar segera.

"Atau, apabila berlaku kecemasan di mana-mana kawasan di rantau kita atau rantau lain dan jika ada permintaan dibuat bagi bantuan, Asean perlu dapat memberikan respons secara efektif sebagai satu kumpulan dan tepat pada masanya," kata Pengerusi Asean itu.

Komuniti 2015 juga perlu menjadi sebuah "Komuniti Kesinambungan" di mana barangan dan penduduknya, pelaburan dan inisiatif, boleh melakukan perjalanan di seluruh rantau ini tanpa sebarang halangan dari Sumatera ke Luzon, dari Delta Ayeyawady ke Delta Mekong, katanya.

"Ekonomi Asean yang berintegrasi sepenuhnya sebagai pasaran tunggal dan berasaskan pengeluaran perlu mempunyai kesinambungan sebegitu yang dimasukkan dalam perkakasan dan juga perisiannya," katanya dan menurutnya rangkaian pengangkutan yang lebih luas di rantau ini juga perlu diwujudkan dan mesra pengguna.

Mengenai perisian, katanya perlu ada peraturan relevan dan selaras bagi rangkaian pengangkutan, perdagangan dan pelaburan dan cadangan bebas visa di rantau ini dan menawarkan Visa Satu Asean bagi mereka dari luar rantau ini.

Menurut Abhisit, hanya melalui komuniti yang mempunyai hubungan erat akan membolehkan Asean merealisasikan potensi ekonominya serta memaksimumkan faedah daripada lokasi strategiknya yang menghubungkan ekonomi-ekonomi besar di Asia Selatan di bahagian Barat dan Asia Tenggara di bahagian Utaranya.

AMM yang akan disusuli Persidangan Lanjutan Peringkat Menteri (PMC) dan Forum Rantau Asean (ARF) adalah mesyuarat Asean yang pertama dianjurkan negara ini selepas diaibkan pada April di mana tuan rumah dipaksa membatalkan Sidang Kemuncak Asia Timur di Pattaya selepas ribuan penunjuk perasaan antikerajaan menyerbu venue itu.

Ribuan anggota tentera dan polis berkawal di sekeliling pulau itu, terutamanya jalan menuju ke venue mesyuarat di Laguna Phuket dengan alat pengesan bom digunakan untuk memeriksa kenderaan dan penghadang jalan dipasang.

Setakat ini, mesyuarat itu berjalan lancar tanpa sebarang petanda akan berlaku rusuhan atau protes. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain