suria

4,000 murid pesantren dikuarantin elak jangkitan flu

JAKARTA: Dalam usaha mengelak kemungkinan jangkitan besar-besaran selesema babi (H1N1), pihak berkuasa kesihatan Indonesia pada Ahad mengenakan kuarantin ke atas kira-kira 4,000 murid sebuah pesantren (sekolah pondok) di Tangerang, Banten. Kuarantin itu dikenakan ke atas murid pesantren DarAl Qolam di Jayanti, Tangerang itu setelah 80 muridnya disyaki dijangkiti virus penyakit itu. "Kita melarang ribuan santri (murid pesantren) itu untuk keluar dari kawasan pesantren dan tidak boleh pulang ke rumah masing-masing kerana ada sebahagian teman mereka disyaki mengidap flu babi," kata Pegawai Kesihatan Daerah Tangerang Hani Haryanto, dipetik agensi berita Antara. Katanya, pemeriksaan ke atas 4,000 penghuni pesantren, mendapati dalam satu ruang asrama yang menempatkan 400 murid, sebanyak 80 murid disyaki dijangkiti flu babi dengan demam panas yang tinggi sejak dua hari lepas. Beliau berkata murid-murid itu sudah diberikan ubat tamiflu, tetapi masih perlu diasingkan dari masyarakat luar selama seminggu untuk disahkan mereka bebas dari penyakit itu.BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain