suria

Malaysia minta Asean tubuh dana pembangunan Myanmar

PHUKET: Malaysia hari ini berkata sudah tiba masa bagi Asean berurusan secara langsung dengan kepimpinan Myanmar dan menubuhkan sebuah dana pembangunan bagi membantu negara tersebut.

Menteri Luar Datuk Anifah Aman berkata Asean perlu mengambil langkah tersebut di sebalik hanya meminta negara yang diperintah junta tentera itu membebaskan tahanan politik dan melaksanakan proses demokrasi.

Katanya isu Myanmar telah dibangkitkan dari masa ke semasa pada mesyuarat serantau sejak satu dekad lalu termasuk oleh setiap peserta dari 26 negara dan Kesatuan Eropah pada Forum Serantau Asean (ARF) ke16 di sini tetapi hanya berlaku perkembangan kecil sahaja.

Sebaliknya, beliau mencadangkan Asean mengambil inisiatif sama ada dengan mencalonkan seorang wakil khas, menugaskan sebuah negara seperti pengerusi Asean, Thailand atau menubuhkan sebuah kumpulan kerja untuk merangka pakej insentif bergabung dengan pelan damai ke arah demokrasi.

Merujuk kepada usaha membantu 2.4 juta mangsa Taufan Nargis di Myanmar oleh Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB), Asean dan kerajaan Myanmar sejak Mei 2008, Anifah berkata tugas seperti itu boleh diberikan kepada Setiausaha Agong Asean Jen.Surin Pitsuwan.

"Indonesia dan Singapura mengatakan Myanmar merupakan negara paling tidak membangun di Asean dan saya beritahu mereka supaya kita perlu melakukan sesuatu bagi membantu Myanmar seperi membina infrastruktur atau dalam bidang pertanian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat ARF di sini.

Cadangan ini, katanya adalah lebih baik daripada meneruskan sekatan atau hanya meminta junta tentera negara itu melepaskan pemimpin prodemokrasi Aung San Suu Kyi dan tahanan politik lain.

Menurut Anifah, Malaysia juga menegaskan supaya Asean perlu memahami dengan lebih baik situasi di Myanmar dan memainkan peranan menonjol dalam membantu negara itu selaras dengan dasar Malaysia iaitu "Dasar Memakmurkan Jiran".

Katanya meletakkan syarat untuk pemberian bantuan kepada Myanmar tidak akan membantu negara itu dan menyatakan bahawa masyarakat antarabangsa hanya mengumpul US$100 juta daripada US$691 juta yang diperlukan untuk usaha pemulihan semula selepas Taufan Nargis kerana Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Jepun mahu Suu Kyi dibebaskan.

Myanmar merupakan isu yang pincang bagi Asean sejak negara itu menyertai gagasan serantau itu pada 1997 khususnya dengan penahanan berterusan Suu Kyi dan perbicaraan wanita itu atas dakwaan melindungi seorang lelaki warga Amerika Syarikat ketika berada dalam tahanan rumah.

Awal bulan ini, Setiausaha Agong PBB Ban KiMoon melawat Myanmar tetapi tidak dibenarkan bertemu dengan Suu Kyi.

"Sebaik sahaja pembangunan sampai kepada rakyat, kerajaan Myanmar akan berada dalam keadaan yang lebih baik dan yakin untuk berdepan dengan pengundi pada pilihan raya serta menangani isu pendatang tanpa izin dan masalah minoriti Rohingya," kata Anifah.

Beliau tidak menolak kemungkinan akan membawa cadangan Malaysia itu pada Sidang Kemuncak Asean ke-15 di sini Oktober ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain