suria

Pengeboman di Mariot, Ritz Carlton bukan jihad tapi keganasan, kata MUI

JAKARTA: Pengeboman di Hotel JW Marriott dan Ritz Carlton di sini yang meragut sembilan nyawa pada Jumaat bukan satu jihad tetapi tindakan keganasan, tegas Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI), Ma'ruf Amin.

"Jihad dilakukan hanya jika umat Islam diperangi...dalam rangka membela diri," katanya dipetik agensi berita Antara di sini, Khamis.

"Selain itu jihad dilakukan terhadap musuh dengan wilayah yang jelas diperangi, sedangkan pengeboman yang dilakukan di keduadua hotel di kawasan Mega Kuningan itu tidak jelas memerangi siapa kecuali orang awam yang menjadi mangsa.

"Jihad itu membela agama dalam erti perang dan perbaikan. Selain itu umat Islam juga harus mendahulukan dakwah sebelum berjihad. Kalau kita masih boleh berdakwah maka kita harus melakukan dakwah terlebih dulu," katanya.

Ma'ruf berkata kerana itu, pengeboman bunuh diri bukan merupakan mati syahid, kerana pelaku bukan mati dalam jihad tetapi mati bunuh diri.

Beliau berkata kaum radikal sedemikian hendaklah kembali kepada pandangan para ulama kerana perjuangan dalam Islam memiliki tata cara tertentu.

"Kita tidak boleh melakukan pemaksaan serta melakukan pengorbanan dengan membunuh orang yang tidak bersalah," katanya.

Menurutnya, mereka yang melakukan pengeboman itu telah mengakibatkan salah faham terhadap Islam sehingga agama suci itu dikaitkan dengan keganasan. BERNAMA

Artikel Lain