suria

Polis sahkan DNA tidak sesuai dengan 2 orang yang disyaki pengebom

JAKARTA: Polis Indonesia hari ini mengesahkan hasil ujian DNA didapati tidak sepadan dengan dua lelaki, yang sebelum ini dilaporkan media massa tempatan sebagai orang yang disyaki menjadi pengebom bunuh diri dalam kejadian bom di hotel JW Marriot dan Ritz Carlton di sini, Jumaat.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Indonesia, Insp Jen Nanan Sukarna berkata hasil ujian DNA yang dijalankan ke atas dua kepala yang ditemui di tempat kejadian, yang disyaki kepala kedua-dua pengebom itu yang disebut-sebut sebagai Nur Hasbi alias Nur Said dan Ibrahim, dengan DNA keluarga mereka, tidak sepadan.

"Keluarga yang datang kelmarin ke sini, keluarga Nur Hasbi, tidak identik DNA dengan potongan kepala yang ditemui di tempat kejadian," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.

Mengenai Ibrahim pula, beliau berkata, setelah ujian DNA dijalankan, ia juga didapati tidak sepadan.

Ini disahkan oleh Ketua Pasukan Penyiasat Mangsa Bencana Polis Indonesia, Brig Jen Edi Suparwoko yang berkata: "Kita sudah melakukan pemeriksaan secara saksama (menyeluruh) kepada keluarga-keluarga yang merasa kehilangan anggota keluarga mereka dalam peristiwa ini namun sehingga saat ini tidak ada yang cocok (sepadan)".

Polis Indonesia juga pada Rabu mengedarkan lakaran wajah dua lelaki yang tidak dinyatakan sebagai pengebom bunuh diri itu, sebaliknya sebagai "korban yang ditemui di tempat kejadian" di Hotel JW Marriot dan Hotel Ritz Carlton.

Lelaki yang kepalanya ditemui di Ritz Carlton berusia antara 20-40 tahun itu, berkulit sawo matang dengan rambut hitam, lurus, pendek dan ketinggian kira-kira 165 sentimeter.

Lelaki yang kepalanya ditemui di JW Marriot pula berusia antara 16-17 tahun, berkulit putih, berambut hitam, lurus, pendek dengan ketinggian antara 180-190 sentimeter dan memakai kasut bersaiz 42-43.

Orang ramai yang mengenali kedua-dua lelaki dengan ciri-ciri itu diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Lakaran wajah kedua-dua lelaki itu juga berbeza daripada gambar sebenar wajah Nur Hasbi mahupun Ibrahim berdasarkan foto yang disiarkan oleh media massa tempatan.

Nanan berkata potongan kepala yang ditemui di tempat letupan bom JW Marriot telah dipastikan lelaki yang sama yang pernah menginap di bilik 1808 hotel berkenaan dan ujian DNA dari potongan kepala itu dengan sisa-sisa peninggalannya di bilik terbabit juga sepadan.

Sambil meminta orang ramai yang mengenali mereka untuk membantu, beliau berkata tumpuan penyiasatan polis kini ialah terhadap kedua-dua orang yang belum dikenali itu.

Dua letupan bom pada kira-kira pukul 7.45 dan 7.47 pagi itu meragut sembilan nyawa termasuk tujuh yang sudah dikenalpasti manakala dua lagi ialah pengebom bunuh diri itu, sementara jumlah yang cedera melebihi 50 orang termasuk banyak rakyat asing.BERNAMA

Artikel Lain