suria

Susilo masih dahului dengan 60.39 peratus undi pilpres

JAKARTA: Penyandang Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono masih mendahului dua saingannya dengan mendapat 60.39 peratus atau 60.72 juta undi pada pilihan raya presiden (pilpres) selepas kiraan undi di 19 provinsi oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU) setakat tengah hari Khamis.

Undi yang diperoleh Susilo yang bergandingan dengan Boediono jauh meninggalkan gandingan Megawati SoekarnoputriPrabowo Subianto yang mendapat 28.09 juta undi (27.93 peratus) dan Jusuf KallaWiranto (11.74 juta undi atau 11.68 peratus).

Provinsi yang telah selesai pengiraan undi ialah Bali, Riau, Sulawesi Selatan, Kalimantan Tengah, Gorontalo, Sumatera Selatan, Jawa Barat, Bengkulu, Bangka Belitung, Yogyakarta, Kalimantan Barat, Aceh, Jawa Tengah, Sulawesi Tengah, Banten, Nusa Tenggara Barat, Jakarta, Jawa Timur dan Sumatera Utara.

Menurut laporan agensi berita Antara, gandingan SusiloBoediono menguasai sebahagian besar sokongan rakyat di provinsi berkenaan kecuali di Bali yang dimenangi Megawati dan di Sulawesi Selatan dan Gorontalo yang dimenangi Jusuf.

KPU menjadualkan pengiraan undi peringkat nasional bagi semua 33 provinsi selesai Jumaat ini dan pengumuman keputusan pilpres akan dibuat pada Isnin.

Bagaimanapun proses pengiraan dan penjumlahan undi peringkat nasional oleh KPU itu dilaporkan hanya dihadiri oleh saksi daripada pihak Susilo berikutan keengganan saksi pihak Megawati dan Jusuf untuk hadir.

Saksi pihak Megawati, Arif Wibowo berkata pihaknya telah membuat persiapan bagi mempertikaikan daftar pemilih tetap (DPT/senarai pengundi) dan pengurangan jumlah tempat pemungutan suara (TPS/pusat mengundi) di mahkamah.

Seorang saksi pihak Jusuf, Chairuman Harahap berkata DPT pilpres itu masih bermasalah dan "kita akan membawa ini ke jalur hukum (mahkamah)."

Ketika mengulas tindakan saksi Megawati dan Jusuf menolak menghadiri proses kiraan undi itu, Ketua KPU Abdul Hafiz Anshary berkata prosesnya tetap berlangsung mengikut jadual.

"Seperti yang saya katakan sebelumnya, tanpa ada tanda tangan dari Ketua KPU sekalipun hasil pengiraan ini tetap sah," katanya.

Sementara itu bangunan KPU dikawal ketat oleh pasukan keselamatan, malah sebahagian jalan Imam Bonjol, Menteng di situ ditutup sehingga Sabtu.

Susilo beberapa hari lepas memberi peringatan bahawa ada pihak yang merancang mengambil alih bangunan KPU menjelang pengumuman keputusan akhir pilpres, malahan ada juga rancangan pihak tertentu untuk memastikan bahawa beliau tidak akan dapat diumumkan sebagai pemenang. BERNAMA

Artikel Lain