suria

Larangan demonstrasi di Phuket

BANGKOK: Kerajaan Thai melarang demonstrasi dan sebarang bentuk perhimpunan semasa Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean di Phuket, Thailand dari 17 hingga 23 Julai.

Timbalan Perdana Menteri Suthep Thaugsuban berkata kerajaan tidak akan membenarkan walaupun demonstrasi sungguhpun ia dibenarkan di bawah perlembagaan.

"Kita sudah belajar daripada pengalaman buruk kita di Pattaya dan kita tidak mahu perkara yang sama berlaku lagi dan memudaratkan negara kita," katanya memberitahu media di sini.

Di bawah larangan menyeluruh itu, wakil-wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan tidak akan dibenarkan menyerahkan sebarang nota bantahan atau memorandum kepada menteri-menteri atau para pegawai.

Pada Khamis, kabinet Thai bersetuju mengenakan Akta Keselamatan Negeri di Phuket selama dua minggu di kawasan dalam lingkungan lima kilometer dari tempat mesyuarat itu berlangsung, Laguna Resort.

Kerajaan merancang menghantar beratus-ratus askar untuk meningkatkan tahap keselamatan di Phuket bagi mencegah insiden 11 April di Pattaya berlaku, di mana penunjuk perasaan baju merah menyerbu Sidang Kemuncak Asia Timur 16 negara anggota itu dan memaksa ia dibatalkan.

Menteri-menteri luar dari 26 negara termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hilary Clinton akan berkumpul di Phuket selama seminggu bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Asean (AMM) ke-42, Persidangan Pasca Menteri dan Forum Rantau Asean (ARF) ke-16.

Kerajaan Thai memilih Phuket dan bukan Bangkok untuk dijadikan tempat mesyuarat itu disebabkan kebimbangan tunjuk perasaan antikerajaan mungkin akan berlaku.

Sungguhpun tidak ada tunjuk perasaan besar-besaran berlaku di ibu negara itu sejak rusuhan 13 April, penunjuk perasaan baju merah yang pro kepada bekas perdana menteri yang digulingkan Thaksin Shinawatra, memberikan tekanan terhadap kerajaan Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva.

Pada Khamis, mereka mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Kementerian Luar mendesak peletakan jawatan Menteri Luar Kasit Piromya yang telah dipanggil oleh polis bersama-sama dengan berpuluh-puluh pemimpin Pakatan Rakyat untuk Demokrasi (PAD) kerana menghadang dua lapangan terbang utama di Bangkok tahun lepas. BERNAMA

Artikel Lain