JAKARTA: Penyandang presiden dan calon presiden Susilo Bambang Yudhoyono menghadapi satu lagi "musuh", selain daripada naib presiden dan bekas presiden menjelang pilihan raya presiden 8 Julai.Beliau mendakwa ilmu hitam digunakan oleh musuhnya untuk menghalang usahanya untuk kekal memegang jawatan itu bagi penggal kedua lima tahun yang akan berakhir pada 2014. "Ini ialah musim pilhan raya. Ramai yang mengamalkan ilmu hitam. Malahan keluarga saya dapat merasai kesannya."Ia luar biasa. Banyak kaedah (ilmu hitam) digunakan," katanya kepada 3,000 peserta pada majlis doa selamat di kediaman peribadinya di Cikeas, Bogor.Katanya, beliau sentiasa membaca ayat suci al-Quran sebagai cara untuk melindungi dirinya daripada serangan ilmu hitam daripada pencabarnya."Saya membuat kesimpulan bahawa hanya melalui doa dan bacaan ayat suci boleh menghalang serangan ilmu hitam. Misalnya, malam Jumaat lepas, saya sentiasa membaca ayat suci al-Quran sepanjang jalan ke venue debat (pusingan ketiga dan akhir debat presiden), bersama-sama isteri saya, pembantu dan pemandu," katanya dipetik oleh agensi berita Antara.Susilo telah meminta peserta pada majlis doa selamat itu yang datang dari beberapa bandaraya di Jawa, mendoakan kesejahteraan negara agar terus menikmati pertumbuhan dan pembangunan pesat.Beliau juga meminta mereka berdoa bagi pilihan raya presiden berjalan secara demokrasi, aman, lancar dan teratur."Saya juga meminta anda semua berdoa supaya kempen pilihan raya ini bebas daripada fitnah dan ilmu hitam, keganasan dan apa juga taktik kotor," kata penyandang presiden itu yang dicabar oleh naib presiden Jusuf Kalla dan bekas presiden Megawati Soekarnoputri dalam pilihan raya presiden, membabitkan 175 juta pengundi berdaftar.Susilo juga meminta mereka mendoakan supaya semua pihak akan menerima dengan hati terbuka apa juga keputusan pilihan raya itu, terutamanya mereka yang telah kalah supaya mereka tidak kembali kepada sistem anarki."Demokrasi ialah mengenai menang atau kalah. Adalah amat indah jika pemenang dapat menjalankan tugasnya dengan baik manakala yang kalah menerima kekalahan itu dengan hati terbuka dan tidak mencari kambing hitam," katanya. BERNAMA