suria

Bapa "pumpkin" didapati bersalah bunuh isteri

MELBOURNE: Xue Nai Yin, lelaki yang meninggalkan anak perempuannya di stesen kereta api Southern Cross di sini telah didapati bersalah membunuh isterinya An An Liu.

Juri di New Zealand menyampaikan keputusannya pagi ini, menurut laporan New Zealand Press Association (NZPA).

Xue menegaskan yang dirinya tidak bersalah semasa keputusan itu disampaikan dengan berulang kali menyatakan dalam bahasa Mandarin "tidak setuju, tidak setuju". "Saya tidak bersalah," katanya semasa dia dibawa ke sel.

Mayat An An Liu ditemui dalam but keretanya di Auckland pada September 2007.

Xue, 55, didakwa di Mahkamah Tinggi di Auckland terhadap pertuduhan menjerut leher Liu, 28, dengan tali leher dan kemudian melarikan diri ke Australia dengan anak perempuannya berumur tiga tahun Qian Xun yang kemudiannya dikenali sebagai "Pumpkin' dua hari kemudian.

Beliau meninggalkan anaknya itu di stesen keretapi di Melbourne pada 15 September sebelum menaiki pesawat ke Amerika Syarikat.

Xue tidak memberikan keterangan pada perbicaraan itu.

Pihak pembelaan berkata, Xue tidak tahu yang isterinya telah mati semasa dia meninggalkan anak perempuannya itu di Melbourne.

Xue ditahan selepas satu keluarga Cina di pekan kecil di Atlanta, Georgia, menonton program "America's Most Wanted" dan menyedari Xue yang tinggal di kalangan mereka adalah pelarian.

Mereka menahan dan mengikatnya dan menghubungi polis.

Selepas perbicaraan tiga minggu di New Zealand, barisan 12 juri yang terdiri daripada wanita mendapati Xue bersalah membunuh Liu, 28, dengan menjerut lehernya dengan tali leher dan meninggalkan tubuhnya yang separuh bogel dalam keretanya di luar rumah pasangan itu di Auckland pada September 2007.

Qian Xun kini tinggal dengan datuk dan neneknya di China. BERNAMA

Artikel Lain