suria

Singapura mungkin berhadapan jangkitan H1N1 tempatan waktu terdekat

SINGAPURA: Singapura kini hanya menunggu masa sebelum seluruh republik itu menyaksikan lebih banyak peningkatan kes Influenza A (H1N1) menerusi jangkitan tempatan.

Republik itu mencatatkan 23 kes baru semalam, yang membabitkan lapan kes penduduk tempatan dan 15 yang pernah melawat keluar negara, yang termasuk seorang atlet Sukan Remaja Asia (AYG) dari Filipina.

"Kes-kes ini mungkin menandakan permulaan jangkitan komuniti," menurut Kementerian Kesihatan Singapura yang mengumumkan bahawa sehingga tengah malam semalam, republik itu mengesahkan jangkitan penyakit itu sudah mencapai 126 kes.

Menurutnya, pihak kementerian akan meneruskan strategi pengasingan yang dilaksanakannya, yang didapati berjaya melengahkan kemasukan virus penyakit itu ke Singapura.

Katanya, ia akan memantau keadaan dengan lebih rapi dan bersiap sedia menangani peningkatan jumlah kes apabila tiba masanya.

Sebanyak 15 kes import yang disahkan itu membabitkan lapan rakyat Singapura, tiga penduduk tetap Singapura (dua dari Filipina dan satu dari Amerika), serta empat warga asing (Dua warga Filipina, seorang warga Amerika dan seorang warga Australia).

Mereka didapati pernah melawat Australia, Amerika, Filipina, United Kingdom, Thailand dan Indonesia. BERNAMA

Artikel Lain