suria

Generasi baru pemberontak bunuh guru di Selatan Thai

BANGKOK: Generasi baru kumpulan pemisah yang dikenali sebagai Pejuang Kemerdekaan Patani dipercayai bertanggungjawab menyebabkan kematian 115 guru dan mencederakan 100 yang lain di Selatan Thai dalam tempoh lima tahun lepas, kata Human Rights Watch (HRW) pada Jumaat.

Lima orang guru dibunuh oleh pemberontak di selatan sejak penggal persekolahan baru bermula pada Mei, dan dalam tempoh yang sama mereka juga membakar lebih 200 sekolah.

HRW yang berpangkalan di New York berkata kumpulan pemisah perlu menghentikan segera serangan terhadap guru dan meminta pihak berkuasa Thai mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab serta meningkatkan langkah mengawal keselamatan di sekolah.

"Kumpulan pemisah meningkatkan serangan terhadap guru, yang mereka anggap sebagai simbol pihak berkuasa kerajaan dan budaya Buddhist Thai. Tiada alasan untuk kekejaman seperti itu," katanya Brad Adams, pengarah HRW Asia.

Antara yang terbunuh ialah seorang guru wanita yang mengandung lapan bulan di daerah Ja Nae wilayah Narathiwat.

HRW berkata selepas serangan seumpama itu, sekolah di kawasan terbabit ditutup atas sebab keselamatan, sambil menyatakan bahawa beratus orang guru meminta ditukarkan daripada wilayah itu.

Serangan terhadap guru bukan hanya melanggar peruntukan undang-undang antarabangsa yang melarang serangan dibuat terhadap orang awam, tetapi juga menggugat hak kanak-kanak untuk mendapat pendidikan, kata HRW.

Ia berkata kerajaan perlu mengambil langkah yang perlu bagi memastikan keselamatan sekolah dan guru.

Sejak lima tahun lepas, terdapat banyak laporan mengenai pembunuhan imam dan guru agama Islam serta serangan terhadap masjid dan sekolah pondok.

HRW berkata tiadanya siasatan jenayah yang berjaya untuk kes-kes itu, menyebabkan penduduk etnik Malayu Muslim membuat rumusan bahawa kerajaan Thai terlibat dalam melindunginya memberi amaran kepada pemberontak bahawa mereka boleh bertindak tanpa rasa takut kepada hukuman.

"Kumpulan pemisah mendakwa penganiayaan oleh pasukan keselamatan menjustifikasikan serangan mereka, tetapi kerajaan Thai tidak sepatutnya membenarnya anggota keselamatannya menggunakan alasan yang sama.

"Sebarang cubaan untuk melindungi kesalahan pasukan keselamatan atau untuk melindungi mereka daripada kesalahan jenayah, akan meningkatkan keganasan," kata Adam.

Beliau berkata telah tiba masanya bagi kerajaan Thai menangani punca asas konflik itu.

Lebih 3,500 orang terbunuh sejak kumpulan pemisah menggerakkan semula kempen bersenjata mereka pada Januari, 2004 untuk menuntut kemerdekaan bagi tiga wilayah yang mempunyai majoriti penduduk Islam iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain