suria

Situasi di Selatan Thai terkawal - tentera Thai

BANGKOK: Situasi di kawasan yang bergolak di Selatan Thai kini terkawal dengan jumlah kejadian keganasan menurun dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Bagaimanapun, pemberontak kini menyasarkan golongan sensitif seperti guru dan sami, kata jurucakap tentera pada Khamis.

Jurucakap pemerintah wilayah 4 operasi keselamatan negara yang berpangkalan di Yala, Kol Parinya Chaidilok berkata serangan lebih banyak disasarkan kepada golongan guru dan sami kerana pemberontak mahu mendapat perhatian media dan masyarakat awam.

"Sebenarnya, situasi bukannya semakin buruk sepertimana yang dispekulasi ramai. Tetapi kebanyakan sasaran serangan adalah golongan sensitif kepada media dan orang awam.

Apabila seseorang sami atau guru terbunuh, orang ramai akan bimbang dan ia mendapat liputan meluas," katanya ketika dihubungi. Sekurangkurangnya empat guru dan sami ditembak mati dalam tempoh dua minggu lepas di wilayah selatan. Lebih 120 guru terbunuh sejak kumpulan pemisah mengadakan semula gerakan bersenjata pada Januari 2004, untuk menuntut kemerdekaan tiga wilayah majoriti penduduk Islam iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat.

Parinya berkata kirakira 60,000 anggota kini ditugaskan menjadi keselamatan di tiga wilayah dan empat daerah di Songkhla, termasuk mengiringi guru dari dan ke sekolah, serta sami mengutip derma setiap pagi.

Pada serangan di sebuah masjid di daerah Chaairong di Narathiwat 8 Jun lepas, Parinya berkata polis mendapat beberapa petunjuk, termasuk kelongsong peluru yang sama dengan senjata yang digunakan semasa serangan di kawasan Bannang Sata di Yala.

"Kami menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara itu. Tapi sehingga kini, kami belum mengenalpasti manamana suspek," katanya. Menurut Deep South Watch, kumpulan pemikir di Prince of Songkhla University di Pattani, seramai 3,471 orang terbunuh dan 5,470 cedera dalam 8,908 kejadian keganasan antara Januari 2004 hingga Mei 2009.

Ia berkata secara purata sebanyak 100 kejadian tembakan, letupan dan keganasaan berlaku dalam tempoh Januari hingga Mei 2009.

Parinya berkata pihak tentera boleh memberikan kawalan keselamatan kepada lebih ramai penduduk tempatan sebaik mereka mendapat bajet daripada Kerajaan beberapa bulan lagi.

"Kini semakin ramai yang bekerjasama dengan pihak berkuasa, walaupun ada sesetengahnya takut pemberontak membalas dendam.

"Tetapi sebaik kami mendapat bajet, kami akan dapat melaksanakan projek pembangunan dan membantu masyarakat tempatan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain