suria

Pengganas di Thailand tiada kaitan dengan Al- Qaeda kata Abhisit

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva hari ini menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya pengganas di wilayah bergolak di selatan negara itu mempunyai kaitan atau dilatih oleh Jemaah Islamiyah (JI) mahupun Al-Qaeda.

Beliau berkata kerajaan Thailand ketika ini dan juga kerajaan sebelumnya, sudah menyiasat perkara itu dan tidak menemui sebarang bukti bagi menyokong kemungkinan tersebut.

"Bagaimanapun kami akan terus menyiasat untuk melihat sekiranya kumpulan pengganas ini mempunyai sebarang kaitan dengan lainlain kumpulan pengganas antarabangsa," katanya kepada pemberita semasa mengulas penahanan tiga rakyat Rohingya yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Sri Lanka, serta Al-Qaeda dan pemisah di selatan Thailand.

Ketigatiga lelaki itu dikatakan terlibat dengan kegiatan menjual senjata kepada LTTE, pemerdagangan manusia, dan didakwa membekalkan pasport palsu kepada orang ramai, termasuk anggota Al-Qaeda yang memasuki Amerika untuk melaksanakan serangan ganas pada 11 September 2001.

Pihak berkuasa Thailand semalam dilaporkan berkata berdasarkan kepada bukti yang ditemui dari telefon bimbit mereka, ketigatiga lelaki itu dipercayai terbabit dalam kegiatan menyeludup senjata dan pengedaran dadah di wilayah bergolak selatan Thailand.

Seorang bekas timbalan panglima tentera Jen Watanachai Chaimuanwong juga mendakwa bahawa keadaan di selatan negara itu akan bertambah parah kerana lebih ramai kumpulan pengganas kini dilatih oleh Jemaah Islamiyah dan Al-Qaeda.

Sehingga ini lebih 3,500 orang terbunuh sejak keganasan meletus di daerah Yala, Pattani dan Narathiwat pada Januari 2004. Abhisit berkata masih terlalu awal untuk mengaitkan suspek Rohingya itu dengan kumpulan pengganas di selatan Thailand, dan menambah bahawa mungkin ketigatiga mereka hanya terlibat dengan aktiviti jenayah semata-mata.

"Biarkan DSI jalankan siasatan mereka. Sebarang maklumat yang boleh membantu kami menyelesaikan konflik di selatan negara, memang amat kami dialualukan," katanya.

Sementara itu merujuk kepada dakwaan bahawa kerajaan masih gagal membanteras pengganas di selatan negara itu, Abhisit berkata pihak berkuasa tahu identiti beberapa kumpulan terlibat, namun struktur pergerakan mereka adalah berbeza daripada banyak kumpulan pengganas antarabangsa lain.

"Di luar negara, mereka (pengganas) menunjukkan struktur pentadbiran mereka dan ramai tahu siapa mereka, tapi di selatan Thailand mereka bersembunyi," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain