suria

Bintang terkenal sertai kempen pembebasan Suu Kyi

BANGKOK: Bintang ternama Paul McCartney, Julia Roberts dan pemain bola sepak terkenal David Beckham menyertai berdozen lagi selebriti lain dan jutaan rakyat di seluruh dunia yang meminta pembebasan ikon demokrasi Myanmar Aung San Suu Kyi pada sambutan hari lahirnya yang ke-64 Jumaat ini.

Untuk memperingati lahir lahirnya dan hampir 14 tahun dalam tahanan, beberapa bantahan dan aktiviti diadakan di lebih 20 bandar seluruh dunia, menyeru pembebasan Suu Kyi dan 2,156 tahanan politik lain yang kini ditahan di Myanmar.

McCartney, Yoko Ono dan selebriti lain akan membuat kenyataan khas 64 perkataan sebagai memperingati hari ulang tahun Suu Kyi, yang boleh didapati di satu laman web khas www.64forSuu.org, kata sekumpulan lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan yang menganjurkan acara itu.

Selebriti lain yang telah menghantar mesej termasuk George Clooney, Beckham, Roberts, Daniel Craig dan Richard Branson.

Kumpulan yang membantah penahanan itu turut meminta Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim tentera Myanmar.

Suu Kyi kini dibicarakan pihak berkuasa kerana melanggar syarat tahanan rumahnya, selepas seorang rakyat Amerika berenang menyeberangi sungai untuk melawat rumah Suu Kyi pada awal Mei. Untuk itu, Suu Kyi menghadapi hukuman penjara sehingga lima tahun.

Suu Kyi menghabiskan hampir 14 tahun sejak 19 tahun lepas di bawah tahanan rumah selepas junta tentera menolak untuk mengiktiraf kemenangan partinya Liga Kebangsaan untuk Demokrasi pada pilihan raya umum 1990. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain