suria

Tiga rakyat Rohingya ditahan di Thailand

BANGKOK: Tiga rakyat Rohingya yang terbabit dalam permerdagangan manusia dan mempunyai hubungan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Sri Lanka, serta Al Qaeda dan pemisah selatan Thailand, ditahan oleh pihak berkuasa Thailand beberapa hari lepas.

Salah seorang dari mereka Mohammad Ali Hussein, dibebaskan dari penjara Malaysia April lalu selepas menjalani hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan yang berkaitan dengan ancaman terhadap keselamatan negara.

Akhbar Bangkok Post hari ini melaporkan bahawa Mohammad Ali, Mohammad Mudbahem dan Chubri Awae ditahan ekoran operasi bersama oleh Jabatan Siasatan Khas (DSI), tentera dan polis imigresen.

Ketua DSI Pol Col Thawee Sodsong berkata ketigatiga mereka yang didapati terbabit dalam pemerdagangan manusia serta pemalsuan pasport, biasanya akan mengenakan bayaran 200,000 baht kepada pelanggan mereka yang kebanyakkannya terdiri daripada rakyat Rohingya, Sri Lanka dan Pakistan, bagi membolehkan mereka memasuki negara ketiga.

Akhbar itu berkata Mohammad Ali juga bertindak sebagai broker senjata, di mana antara pelanggannya ialah kumpulan Tamil Tigers serta angota kumpulan pemerdagangan manusia, dan beliau juga didakwa menyediakan pasport palsu kepada pelanggan, kemungkinan termasuk dari kalangan anggota AlQaeda yang memasuki Amerika untuk melaksanakan serangan pengganas pada 21 Sept 2001.

Mohammad Ali, yang pernah menetap di Hatyai, selatan Thailand, sebelum berpindah ke Bangkok, ditahan pada hari Isnin lepas di rumah isterinya yang merupakan rakyat Thailand di Chaiyaphum, dalam daerah Kaset Sombun, selepas menyusup masuk ke dalam negara awal bulan ini.

Thawee juga berkata berdasarkan kepada bukti yang ditemui dari telefon bimbit mereka, polis percaya ketigatiga mereka juga terbabit dalam kegiatan menyeludup senjata dan mengedar dadah di wilayah bergolak di selatan Thailand.

Thailand terjebak dalam kontroversi awal tahun ini apabila pasukan tentera lautnya dituduh menolak pelarian Rohingya yang cuba memasuki negara itu, kembali kelaut.

Kebanyakan kaum Rohingya ini tiba ke Ranong dan Phuket sebelum diseludup terus ke Malaysia, atau diambil bekerja dalam industri perikanan dan perladangan di Thailand.

Kebanyakan kaum Rohingya ini melarikan diri dari negeri asal di Arakan, Myanmar, dan kirakira 250,000 daripada mereka kini tinggal di kem pelarian di Bangladesh, di samping kira-kira 20,000 di Thailand, dan ramai juga yang kini berada di Malaysia serta Indonesia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain