suria

Bekalan senjata semarakkan konflik selatan Thailand

BANGKOK: Kerajaan Thailand diminta menghentikan penubuhan pasukan sukarelawan awam bersenjata dan bekalan senjata kepada orang awam di wilayah bergolak Selatan Thailand kerana langkah itu meningkatkan ancaman keselamatan dan polarisasi kaum di kalangan penduduk.

Nonviolence International (South East Asia) berkata strategi Bangkok mengembangkan pasukan sukarelawan awam bersenjata dan penggantian serta pembatalan kawal selia pembelian senjata oleh orang awam bagi menangani konflik keganasan membuktikan ia tidak berkesan.

Sementara keganasan terus tidak berkurangan, temuramah dengan pegawai kerajaan mendedahkan bahawa penguatkuasaan undang-undang dan tanggungjawab keselamatan kini semakin meningkatkan ekoran kelemahan latihan serta saringan anggota separa tentera dan angkatan sukarelawan pertahanan awam, menurut badan itu.

Penilaian itu terkandung di dalam satu laporan baru dikeluarkan Isnin, "Rule by the Gun: Armed Civilians and Firearms Proliferation in Southern Thailand," (Pemerintahan Bersenjata: Orang Awam Bersenjata dan Pertambahan Senjata Api di Selatan Thailand), yang dilancarkan sempena "Minggu Tindakan Global Terhadap Keganasan Bersenjata"

Keganasan semakin meningkat akhir-akhir ini, termasuk insiden tembakan di sebuah masjid di Narathiwat yang mengakibatkan 10 orang Islam terbunuh pada 8 Jun lepas sementara seorang sami ditembak mati di Yala beberapa hari kemudian.

Lebih 3,700 orang terkorban sejak kumpulan pemisah kembali mengadakan kempen pada Januari, 2004 untuk mendapatkan kebebasan bagi wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Laporan itu menunjukkan bahawa strategi kerajaan untuk menyelesaikan konflik tidak berjaya mengurangkan keganasan, sebaliknya ia meningkatkan lagi rasa tidak puas hati di kalangan penduduk Melayu Islam terhadap kerajaan Thailand dan meningkatkan rasa ketidakadilan dan diskriminasi.

"Bagi penganut Buddha Thailand pula, mereka berpendapat pegawai-pegawai kerajaan tidak berupaya menyediakan perlindungan keselamatan menyebabkan mereka terdesak mendapatkan senjata api," menurut laporan itu.

Melihat kepada kedua-dua bekalan dan permintaan terhadap pertambahan senjata, Nonviolence International berkata kajian dilakukan mendedahkan satu trend jelas akan bagaimana pertambahan senjata api di Selatan Thailand berpotensi berlarutan, jika tidak memburukkan lagi konflik.

Daripada segi bekalan, kerajaan Thailand membekalkan senjata ringan, terutamanya kepada rakyat beragama Buddha dan pegawai menerusi tiga saluran iaitu mengedarkan senjata api kepada pasukan awam, melonggarkan peraturan senjata api dan memberikan subsidi bagi pembelian senjata.

Laporan itu menyebut kegagalan kerajaan mengadakan undang-undang dan tempahan secara sewenang-wenang amat jelas menyemarakkan "ekonomi keselamatan" yang menjadikan ketidakselamatan dan pertambahan senjata sebagai sumber pendapatan.

"Gabungan bekalan dan permintaan senjata api telah meningkatkan ekonomi senjata yang akhirnya menyebabkan dan meningkat pengedaran senjata api," menurut laporan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain