suria

Jumlah militan kanak-kanak di zon konflik Pakistan makin bimbangkan

NEW DELHI: Peningkatan jumlah kanak-kanak dan remaja militan yang dilatih sebagai pengebom berani mati kini menjadi trend yang membimbangkan di zon konflik di Pakistan, menurut aktivis hak asasi kanak-kanak.

Dengan perang yang diterajui militan semakin mencengkam di Wilayah Hadapan Utara-Barat (NWFP) Pakistan, aktivis berkenaan bimbang lebih banyak kanak-kanak daripada keluarga miskin di luar bandar menjadi sasaran kerana mereka paling tidak dilindungi daripada kumpulan bersenjata.

"Lebih banyak kanak-kanak dari beberapa madrasah (sekolah agama) dan kem IDP (orang kehilangan tempat tinggal) menjadi mangsa. Umur kanakkanak pengebom berani juga kini semakin muda.

"Kanak-kanak semuda 10 hingga 12 tahun mengangkat senjata untuk berjuang dalam peperangan antara suku kaum.

"Ia menjadi isu yang semakin membimbangkan di Pakistan," kata Fazila Gulrez, pengurus Unit Media dan Kreatif, Persatuan Perlindungan Hak Asasi Kanakkanak (SPARC), kepada Bernama.

Dalam temu ramah melalu telefon dari Islamabad, Gulrez berkata kemiskinan dan ditambah dengan persekitaran politik bergolak di Pakistan menjadikannya amat kondusif bagi peningkatan militan kanak-kanak di NWFP kini menjadi sarang pertempuran antara pasukan tentera kerajaan dan militan.

SPARC, sebuah pertubuhan aktivis kanak-kanak, mengeluarkan laporan bertajuk "The State of Pakistan's Children 2008" sempena Hari Menentang Buruh Kanak-kanak Sedunia yang disambut pada 12 Jun. Ia mendedahkan bagaimana kanak-kanak menjadi mangsa untuk dipengaruhi menyertai militan dan menjadi buruh kanak-kanak.

Menurut laporan SPARC, jumlah pengebom berani mati pada tahun lepas adalah lebih tinggi daripada 2007, dengan 31 serangan berani mati dilakukan yang mengorbankan 889 orang dan mencederakan lebih 2,000, kebanyakannya kanak-kanak.

"Setiap kanak-kanak di kawasan seperti Swat (Lembah) dan Buner bercakap mengenai memancung kepala atau berapa banyak mayat yang digantung. Ini hanya akan meninggalkan kesan serius terhadap personaliti mereka dan kanak-kanak ini akan menderita sepanjang hidup mereka.

"Mereka akan menjalani hidup dengan penuh trauma apabila mereka dewasa," kata Gulrez. Statistik rasmi menunjukkan sekurang-kurangnya 80 peratus IDP yang tinggal di kem-kem di zon konflik ialah wanita dan kanak-kanak, memudahkan militan untuk memujuk kanak-kanak untuk menyertai kumpulan militan. BERNAMA

Artikel Lain