suria

Mahmoud hampir pasti kekal Presiden Iran

TEHERAN: Kementerian Dalam Negeri Iran berkata, Mahmoud Ahmadinejad akan mencapai kemenangan besar serta membuat kejutan pada pilihan raya presiden republik Islam berkenaan yang diadakan semalam.

Pemilihan tersebut melihat pertarungan sengit antara Ahmadinejad dan bekas Perdana Menteri Mirhossein Mousavi.

Pilihan raya itu menyaksikan satu jumlah kehadiran penyokong yang besar terutamanya di kalangan gerakan belia keluar memberi sokongan kepada Mirhossein.

Dalam sidang media lewat malam semalam, Mirhossein mengisytiharkan dirinya 'pasti menang' berdasarkan 'semua petanda di seluruh Iran'.

Bagaimanapun beliau menuduh pihak kerajaan 'memanipulasi undi rakyat' untuk memastikan Ahmadinejad mencapai kemenangan.

"Ia menjadi tugas kita untuk mempertahankan undi-undi rakyat...kita tidak akan berpatah balik," kata Mirhossein.

Terdapat kebimbangan berlakunya bantahan jika Mirhossein diisyitiharkan kalah.

Namun sehingga pagi tadi masih belum kelihatan sebarang perhimpunan diadakan.

Dua lagi calon ialah bekas Speaker Parlimen, Mehdi Karroubi yang juga satu-satunya ulama yang bertanding jawatan tersebut, serta bekas ketua Kor Pengawal Revolusi, Mohsen Rezai. AP

Artikel Lain