suria

Empat mati dalam nahas milik tentera Indonesia

BOGOR: Tentera Nasional Indonesia (TNI) malam ini mengesahkan bahawa empat orang terkorban dan tiga yang lain cedera parah dalam nahas helikopter Puma SA 330 miliknya di sini, tengah hari ini.

Pengarah Operasi I TNI Angkatan Udara (TNI-AU) Marsyal Muda Imam Sufaat ketika mengesahkan demikian berkata yang terkorban ialah dua orang juruteknik Catur Edy dan Dody serta pilot Maj Sobiq Fanani dan pembantu pilot Lt Wisnu.

Nahas itu, kali ketiga dalam sebulan, melibatkan pesawat TNI terjadi ketika helikopter Puma dari Skuadron 8 Pangkalan TNI-AU Atang Sendjaja Bogor terhempas dikatakan selepas dibaiki dan disenggara.

Imam Sufaat dipetik oleh agensi berita Antara di sini sebagai berkata bahawa helikopter itu sedang melakukan uji fungsi, setelah enam bulan sebelumnya helikopter itu mengalami kerosakan pada alat "automatic pilot".

Ia diperbaiki di Bandung dan setelah itu dibawa ke Bogor untuk uji fungsi penerbangan yang berjalan lancar pada pagi ini tetapi ujian kedua selepas solat Jumaat berakhir nahas.

"Ketika hendak mendarat, tiba-tiba pesawat berpusing, kemudian jatuh," katanya.

Beliau berkata, helikopter itu buatan 1978 dan sudah melaksanakan pelbagai tugas di merata daerah di seluruh Indonesia.

Mangsa yang cedera parah dan masih dirawat di hospital di sini berjumlah tiga orang iaitu Lt Ronny, Efran dan Ferdinan. BERNAMA

Artikel Lain