suria

Seorang sami ditembak mati di Yala

NARATHIWAT: Seorang sami berumur 60 tahun ditembak mati di sebuah perkampungan dalam daerah Yala di selatan Thailand hari ini, dan penduduk di mana 10 orang terbunuh dalam serangan di masjid Isnin lepas itu mendakwa ia berpunca daripada perbuatan balas dendam terhadap pembunuhan seorang penoreh getah beragama Buddha.

Polis berkata semasa kejadian sami itu dikatakan sedang mengutip pemberian orang ramai apabila dia ditembak oleh dua lelaki yang menunggang motosikal.

Kejadian itu berlaku empat hari selepas kejadian serangan ke atas sebuah masjid di Kampung Air Tempayan, daerah Cha-airong, yang mengakibatkan 10 orang terbunuh dan 12 lagi cedera.

Antara yang terbunuh dalam kejadian itu ialah pelajar berumur 23 tahun yang baru menamatkan pengajiannya di Bangkok dan guru berumur 30 tahun yang merancang untuk melanjutkan pengajiannya di Malaysia.

Sementara itu beberapa pelajar yang ditemui di sekitar masjid itu didapati tidak yakin dengan dakwaan pihak berkuasa bahawa serangan di masjid berkenaan Isnin lepas didalangi oleh kumpulan pemisah.

Mereka memberitahu turut menerima risalah yang didakwa dari Persatuan Pelajar Muslim Selatan Thai, yang mendakwa bahawa serangan itu dilaksanakan oleh Runda Kumpulan Kecil (RKK) yang menjadi dalang di sebalik serangan ganas yang dilancarkan hampir setiap hari di wilayah itu.

Seorang penduduk Ibrahim Abdul Wahab, 60, yang kehilangan anak lelakinya dalam serangan itu berkata tidak mungkin seorang Muslim boleh melakukan perbuatan itu di sebuah masjid, iaitu rumah Allah.

Seorang lagi lelaki yang turut kehilangan anak lelakinya dalam serangan itu berkata ramai penduduk meragui dakwaan bahawa serangan itu dilakukan oleh kumpulan pemisah yang berhasrat untuk memulakan perang antara kaum Muslim dan Buddha.

Sementara itu pihak berkuasa dengan pantas berusaha mengembalikan keyakinan serta sokongan penduduk di kawasan berkenaan, dengan menghulur bantuan kepada keluarga mangsa -- 100,000 baht buat mereka yang kehilangan anggota keluarga dalam serangan di masjid itu, dan 12,000 baht lagi untuk belanja urusan pengebumian, manakala mereka yang tercedera menerima 30,000 baht tiap seorang. BERNAMA

Artikel Lain