suria

Tiada mangsa tembakan di masjid terlibat kes pelarian ke Malaysia

NARATHIWAT: Kejadian pembunuhan 10 orang jemaah di sebuah masjid di Kampung Air Tempayan, daerah Chaairong, Narathiwat Isnin lepas tidak melibatkan manamana daripada kes pelarian 131 orang penduduk Islam Selatan Thai ke Malaysia empat tahun lepas.

Ketua Kampung, Seman Ibrahim, yang nyaris maut, berkata setahu beliau belum ada penduduk di kampung itu yang pernah melarikan diri ke Malaysia atau pun terlibat dengan kejadian pada akhir Ogos, 2005 yang hampir menjejaskan hubungan diplomatik Thailand dengan Malaysia.

"Memang tidak ada penduduk di sini yang terlibat. Yang mati pun semuanya penduduk dari sini manakala yang cedera ada juga jemaah dari Kampung Merbok," kata beliau ketika ditemui di pekarangan masjid hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai uraura bahawa ada di antara mangsa baru pulang dari Malaysia dan merupakan sebahagian daripada 131 penduduk dari wilayah Narathiwat yang lari ke Kelantan selepas mendakwa mereka tidak selamat akibat keganasan di wilayah itu.

Selepas ditahan di sebuah pusat tahanan imigresen di Terengganu, kesemua mereka pulang dalam beberapa kumpulan dan yang terakhir pada April.

Ketika menceritakan kejadian itu, Seman berkata, seramai 24 orang penduduk kampung dan jemaah tabligh dari Kampung Merbok sedang menunaikan solat apabila beberapa lelaki bersenjata automatik dan bertopeng menyerbu masjid dan melepaskan tembakan bertubi-tubi.

"Mula-mula mereka tembak imam...saya dan jemaah lain semua rebah dan menjerit Allahuakhbar. Saya sempat merangkak masuk bilik sebelah kanan, dua kawan yang turut sama merangkak terkena tembakan," katanya.

Hanya Seman dan seorang lagi jemaah tidak terkena tembakan manakala adik ketua kampung itu berusia 33 tahun turut terbunuh.

Seman berkata, beliau hanya berani bangun selepas penduduk kampung datang kira-kira lima minit selepas kejadian itu, termasuk anak-anak Imam Wan Dollah yang rumah mereka terletak di hadapan masjid.

Kesemua mangsa berumur di antara 23 dan 67 tahun dan kebanyakan mereka mempunyai kesan tembakan bertubitubi, termasuk di kepala, kata beliau.

Penolong ketua Polis Thailand, Adul Sangsingkeo turut melawat masjid itu hari ini bersama-sama Anggota Parlimen Narathiwat, Najmuddin Umar.

Anak Imam masjid itu, Wan Nasir berkata, setahu beliau bapanya tidak mempunyai sebarang masalah dengan sesiapa atau pernah dikaitkan dengan kumpulan pemisah di selatan Thailand.

"Sebelum kejadian pun tidak ada apaapa yang mencurigakan. Jemaah yang datang pun sudah masuk malam kedua," katanya.

Najmuddin berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Adul bahawa polis telah menemui kesan darah di belakang masjid yang dipercayai boleh membantu siasatan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, adalah penting bagi kerajaan menubuhkan sebuah badan penyiasat bebas yang turut mengambil wakil-wakil daripada majlis peguam dan badan hak asasi manusia untuk mengembalikan keyakinan rakyat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain