suria

PAD tubuh parti baru

BANGKOK: Kumpulan 'baju kuning' Perikatan Rakyat bagi Demokrasi (PAD) menubuhkan parti politik baru yang dinamakan "Karn Muang Mai" atau Parti Politik Baru.

Pemimpin kesatuan syarikat-syarikat kerajaan Somsak Kosaisuk, seorang daripada penggerak utama PAD, dilantik sebagai pemimpin parti itu manakala penyelaras PAD Suriyasai Katasila akan menjadi setiausaha agung.

Bercakap pada sidang akhbar pada Selasa, Somsak berkata nama parti itu dipilih semasa mesyuarat yang dihadiri 20 wakil dari seluruh negara.

Parti baru itu dinamakan sempena slogan PAD sejak tiga tahun lepas yang mahukan politik baru di negara ini, serta menggunakan warna kuning dan hijau.

"Warna kuning melambangkan monarki dan demokrasi manakala hijau adalah untuk politik yang bersih dan alam sekitar yang tidak tercemar," katanya.

PAD mula menonjol apabila ia membuat demonstrasi jalanan secara besarbesaran di ibu negara ini yang membawa kepada rampasan kuasa yang menjatuhkan perdana menteri Thaksin Shinawatra pada September 2006.

Pada 2008, ia mengepung pejabat perdana menteri selama enam bulan dan menyebabkan dua lapangan terbang utama Bangkok ditutup.

Sekutunya, bagaimanapun menang pilihan raya umum pada Disember 2007 tetapi perdana menteri Samak Sundaravej dan penggantinya Somchai Wongsawat dipecat oleh Perlembagaan dalam tempoh tiga bulan pada 2008.

PAD yang didakwa kumpulan baju merah yang menyokong Thaksin sebagai disokong oleh pihak tentera, mahu mewujudkan politik baru di negara ini, yang antara lain mahukan 30 peratus daripada anggota parlimen dipilih secara terus oleh pengundi manakala yang lain adalah wakil yang dicalonkan.

Somsak berkata mereka akan menghantar permohonan untuk menubuhkan parti itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya pada Khamis.

Ketika ia menerima sokongan yang kuat semasa protes jalanan itu, parti baru itu dilihat akan menjadi saingan sekutunya, parti pemerintah Demokrat dan Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva memandangkan keduaduanya mendapat sokongan daripada golongan pertengahan dan elit di ibu negara ini dan wilayah di selatan.

Parti Pheu Thai, yang didominasi sekutu Thaksin, masih mendapat sokongan kuat di utara dan timur laut, dan dijangka menguasai kawasan yang lebih besar jika pilihan raya diadakan tahun ini. BERNAMA

Artikel Lain