suria

Demokrat menang 148 kerusi Parlimen, Golkar 108, PDIP 93

JAKARTA: Parti Demokrat pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang meraih 148 kerusi muncul sebagai pemenang terbanyak kerusi di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR/Parlimen) Indonesia, mengalahkan parti Golkar di tempat kedua dan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) di tempat ketiga.

Keputusan akhir hasil pilihan raya umum 9 April yang diumumkan oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU), organisasi yang bertanggungjawab mengendalikan pilihan raya di sini malam tadi menunjukkan parti Demokrat yang menang 148 kerusi itu menguasai 26.43 peratus jumlah kerusi di Parlimen manakala Golkar (108 kerusi/ 19.29 peratus) dan PDIP (93 kerusi/16.61 peratus).

Hasil akhir pengiraan undi 171 juta pemilih itu yang berlangsung selama sebulan, menunjukkan hanya sembilan daripada sejumlah 38 parti politik peringkat nasional yang bertanding yang layak masuk ke Parlimen bagi sesi 2009-2014 ini.

Selain Demokrat, Golkar dan PDIP, parti lain yang layak ialah Parti Keadilan Sejahtera (PKS) di tempat keempat dengan perolehan 59 kerusi (10.54 peratus), Parti Amanat Nasional (PAN) 42 kerusi (7.50 peratus), Parti Persatuan Pembangunan (PPP) 39 kerusi (6.96 peratus).

Parti lain ialah Parti Gerakan Indonesia Raya (30 kerusi/5.36 peratus), Parti Kebangkitan Bangsa (26 kerusi/4.64 peratus) dan Parti Hati Nurani Rakyat (15 kerusi/2.68 peratus).

Keputusan itu yang dibacakan oleh Ketua KPU Abdul Hafiz Anshary di ibu pejabat KPU di sini menunjukkan daripada keseluruhan jumlah pengundi Indonesia sebanyak 49.6 juta orang tidak keluar mengundi atau sebanyak 29.01 peratus daripada 171 juta pengundi berdaftar.

Jumlah undi yang sah dan diterima ialah hampir 104.1 juta atau 60.78 peratus manakala undi rosak dan ditolak ialah 17.48 juta atau 10.21 peratus.

Keputusan akhir itu diumumkan menepati jadual sasaran yang ditetapkan oleh KPU sendiri meskipun pengiraan semula bagi daerah pengundian Nias Selatan di Sumatera Utara belum selesai dijalankan.

Pengumuman keputusan akhir itu didapati tidak banyak berbeza dengan keputusan secara pengiraan cepat yang dilakukan oleh beberapa badan kaji selidik dan sukarela, yang sememangnya meletakkan parti Demokrat di tempat pertama dan diikuti sama ada oleh Golkar dan PDIP, berganti kedudukan di tempat kedua dan ketiga.

Pengumuman keputusan akhir itu akan membolehkan proses penamaan dan pendaftaran pasangan calon-calon presiden dan naib presiden berjalan seperti dirancang oleh KPU sehingga 16 Mei dan pilihan raya presiden dijalankan pada 8 Julai. BERNAMA

Artikel Lain