suria

Tangkapan Mas Selamat dirahsiakan bagi elak jejaskan operasi

SINGAPURA: Pemimpin-pemimpin tertinggi Singapura sudah mengetahui pelariannya yang paling dikehendaki Mas Selamat Kastari telah ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia tetapi perlu merahsiakannya atas permintaan Malaysia.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata, timbalannya Wong Kan Seng memberitahunya bahawa pihak berkuasa Malaysia telah menangkap Mas Selamat (ketua kumpulan militan Jemaah Islamiah yang disyaki) tetapi berita itu tidak boleh diumumkan, oleh kerana ia akan menjejas operasi susulan.

"Kan Seng beritahu saya bahawa pihak Malaysia telah meminta kami agar menyeyapkannya buat seketika," kata Lee dalam satu kenyataan hari ini.

Lee berkata beliau kemudian memberitahu timbalannya bahawa Singapura perlu menghormati permintaan Malaysia sekalipun beliau sedar rakyat Singapura begitu ingin tahu berita mengenainya.

Dipercayai kenyataan itu dikeluarkan selepas sesetengah rakyat Singapura menyatakan rasa khuatir dan kecewa berhubung sekatan berita mengenai penangkapan Mas Selamat, oleh pihak berkuasa tempatan yang hanya mengesahkannya secara rasmi selepas ini didedahkan oleh sebuah akhbar utama Singapura, The Straits Times.

Pihak berkuasa Malaysia yang turut mengesahkan penangkapan itu semalam berkata Mas Selamat ditangkap oleh polis Cawangan Khas awal bulan lepas di Skudai, Johor, dan kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mas Selamat, 48, yang dikatakan merancang melakukan beberapa letupan bom di sini terus melarikan diri setelah dapat melepaskan diri dari kawalan maksimum di pusat tahanan Whitley Road pada 27 Februari. Perdana Menteri berkata, beliau mengetahui mengenai kebocoran berita itu di akhbar pada Khamis petang bila Kan Seng, yang juga Menteri Dalam Negeri, menerima panggilan dari Straits Times semasa makan tengah hari prakabinet mingguan dengan semua Menteri Kabinet.

Timbalannya berkata, Straits Times membuat panggilan meminta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) mengesahkan berita "scoop", yang kata akhbar itu berpunca dari wakilnya di Kuala Lumpur, bahawa pihak Malaysia telah menangkap Mas Selamat.

"Oleh kerana berita itu sudah bocor, kami tiada pilihan kecuali mengesahkannya. Hanya selepas itu Kan Seng memberitahu Menteri-menteri bahawa Mas Selamat telah ditangkap, berita telah bocor, dan kita perlu mengesahkannya. Mereka begitu terkejut," kata Lee.

Lee juga berkata ketika beliau mengadakan makan tengah hari empat mata dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib di Pattaya pada 11 April selepas mesyuarat ASEAN dibatalkan akibat tunjuk perasaan, Najib memberitahunya yang pihak berkuasa Malaysia telah menangkap Mas Selamat.

Lee berkata, beliau memberitahu Najib bahawa beliau telah diberitahu mengenai penangkapan itu lebih awal, dan mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana sokongan dan bantuannya.

"Saya kata masalah keganasan menjejas kedua-dua negara kita. Kumpulan JI terus aktif di rantau ini, dan kita mesti bekerjasama rapat bagi menentang mereka serta kumpulan lain seumpama itu," kata Lee kepada Najib.

Beliau juga memberitahu Najib bahawa beliau amat menghargai kerjasama rapat dan kepercayaan antara ISD dengan rakan Malaysia, Cawangan Khas.

Lee berkata, beliau senang hati dan merasa lega Mas Selamat telah ditemui dan ditangkap sebelum beliau sempat mencetuskan sebarang bahaya. BERNAMA

Artikel Lain