suria

AS catat kematian kedua wabak inflenza H1N1

HOUSTON/MEXICO CITY: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan kematian kedua di negara itu berpunca daripada wabak influenza H1N1, sementara Mexico membantah sekatan yang dikenakan ke atas rakyatnya dan produk berasaskan khinzir sebagai respon kepada epidemik yang semakin menyurut itu.

Reuters melaporkan, di Texas, pegawai kesihatan tempatan berkata, wanita yang dijangkiti virus tersebut mati pada awal minggu ini.

"Wanita dari Cameron Country yang berhadapan dengan keadaan kesihatan yang kronik itu menemui ajal pada awal minggu ini," kata Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Negeri Texas dalam laman webnya.

Ia adalah kematian kedua dicatatkan di AS berpunca daripada virus H1N1 selepas kes pertama berlaku awal bulan lalu yang meragut nyawa seorang kanak-kanak warga Mexico yang melancong ke AS.

Pakar kesihatan berkata, influenza H1N1 yang telah meragut 26 nyawa rakyat Mexico, menunjukkan tanda-tanda menuju ke tahap sederhana dan dilihat tidak akan merebak secara agresif ke luar Amerika Utara.

Amaran kesihatan dunia mengenai virus yang tidak pernah diketahui itu, setakat ini telah menjangkiti lebih 1,300 orang di 22 negara.

Langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan virus itu telah menimbulkan ketegangan perdagangan dan diplomatik.

Artikel Berikut

Artikel Lain