suria

Hormati Undang-undang Malaysia - Duta Indonesia

KUALA LUMPUR Duta Besar Indonesia Tan Sri Dr Da'i Bachtiar hari ini meminta semua rakyat Indonesia yang berada di Malaysia supaya mematuhi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negara ini.

Beliau juga meminta mereka supaya sentiasa ingat tujuan utama mereka datang ke Malaysia ialah untuk menambah pendapatan keluarga.

"Anda semua tentu datang ke Malaysia untuk bekerja mencari nafkah yang halal.

"Tunjukkan bahawa saudara warga Indonesia yang baik, saudara taati aturanaturan dan jangan lakukan pelanggaran hukum apapun kerana saudara akan dihukum, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara sendiri sekiranya saudara melakukan kejahatan," katanya kepada Bernama semasa berkunjung ke ibu pejabat agensi berita nasional itu di sini.

Bagaimanapun, menurut Bachtiar, pembabitan tenaga kerja Indonesia dalam kegiatan jenayah di negara ini tidak terlalu signifikan.

"Saya telah dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri bahawa jumlah statistik orang Indonesia yang melakukan jenayah di Malaysia ini sebenarnya tidak terlalu signifikan.

"Tetapi mungkin disebabkan persepsi, maka sering sekali dianggap bahawa warga Indonesia lebih banyak melakukan kejahatan, jadi harapan saya, profesionallah dalam soal ini," kata beliau.

Bachtiar juga berkata pihaknya kerap menerima aduan daripada pembantu rumah warga Indonesia di negara ini yang mendakwa mereka tidak dibayar gaji yang setimpal dan didera.

Beliau berkata pihaknya memang menggalakkan tenaga kerja Indonesia di negara ini sentiasa berkomunikasi dengan kedutaan dan berhasrat mewujudkan satu unit bagi memantau keadaan mereka pada masa akan datang.

Katanya Kedutaan Indonesia juga amat menghargai Kementerian Sumber Manusia yang sentiasa memberikan respons yang sangat positif dalam menyelesaikan sebarang aduan berhubung tenaga kerja Indonesia. "Saya ingin memohon kepada saudara-saudara kami di Malaysia ini, anggaplah tenaga kerja Indonesia sebagai keluarga.

"Mereka datang tentu ingin bekerja, ingin menambah kesejahteraan bagi keluarga dan tentu datang ke sini bukan untuk membuat kecoh di Malaysia ini, tetapi ingin bekerja secara halal, jadi tolonglah diterima dengan baik," katanya lagi.

Katanya sehingga kini, terdapat 1.2 juta tenaga kerja Indonesia yang berdaftar manakala jumlah mereka yang datang bagi urusan dokumentasi di kedutaan setiap hari ialah antara 700 dan 1,000 orang. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain