suria

PM Nepal letak jawatan, keadaan huru-hara

NEW DELHI: Perdana Menteri Nepal Pushpa Kamal Dahal meletak jawatan hari ini berikutan perbalahan yang wujud dalam kalangan pemimpin politik dan sekali gus menjerumuskan negara di banjaran Himalaya ini ke kancah huruhara politik.

Dahal berbuat demikian sehari selepas beliau memecat panglima tentera negaranya Jen Rookmangud Katawal berikutan keengganan ketua tentera itu menerima kemasukan bekas pejuang berfahaman Maoist ke dalam pasukan itu.

Tindakan Dahal, yang juga dikenali sebagai Prachanda itu, bagaimanapun ditolak Presiden Ram Baran Yadav, yang mengarahkan panglima tentera itu kembali bertugas.

Tindakan ini memberi tamparan hebat kepada Dahal.

"Saya meletak jawatan sebagai perdana menteri berkuat kuasa hari ini bagi memelihara demokrasi dan keamanan," kata Dahal dalam perutusan yang disiarkan melalui televisyen ke seluruh negara.

Parti berfahaman Maoist yang memerintah Nepal menuntut agar kira-kira 19,000 pejuangnya diterima menganggotai angkatan tentera. Tuntutan ini menjadi isu besar dan menimbulkan pergeseran antara Dahal, panglima tentera berkenaan dan presiden, hingga mencetuskan pergolakan politik di republik termuda dunia ini.

Tahun lepas, Nepal menamatkan sistem pemerintahan berajanya yang berusia 200 tahun dan menjadi sebuah republik yang mengamalkan sistem demokrasi, yang sekali gus menamatkan perang saudara selama 10 tahun antara tentera kerajaan dan pemberontak Maoist di negara itu.

Bercakap kepada Bernama dari Kathmandu, Duta Malaysia ke Nepal Datuk Ilankovan Kolandavelu berkata keadaan agak tegang, tetapi terkawal dan pasukan keselamatan diletakkan dalam keadaan penuh berjaga-jaga di seluruh negara.

"Perintah berkurung sementara dikenakan malam tadi, sebelum ditarik balik. Keadaan tegang apabila penyokong jeneral yang memihak kepada tentera dan penyokong Maoist terus bertempur di jalan raya.

"Bagaimanapun, semua rakyat Malaysia berada dalam keadaan selamat. Terdapat kira-kira 20 rakyat Malaysia, termasuk tiga pelajar di negara ini. Kedutaan kita sentiasa berhubung dengan mereka," katanya. BERNAMA

Artikel Lain