suria

Jutawan Australia meninggal dunia

MELBOURNE: Richard Pratt, seorang tokoh perniagaan, dermawan dan jutawan Australia, yang mengusahakan penajaan Pelancongan Malaysia ke atas kelab bolasepak Carlton, meninggal dunia di kediaman mewah Kew, hari ini.

Seorang jurucakap keluarganya berkata, Pratt meninggal dunia selepas lama menghidapi penyakit kanser prostat pada pukul 7 malam waktu tempatan.

Beliau berusia 74 tahun.

Mendiang terlantar di katil untuk sekian lama dan telah menerima kunjungan rakan dan sahabat termasuk Perdana Menteri Kevin Rudd dan bekas perdana menteri Malcolm Fraser dan Bob Hawke.

Antara rakan karib mendiang ialah jutawan Malaysia Tan Sri Ananda Krishnan yang dikenalinya sejak zaman universiti di Melbourne.

Pratt, seorang pendatang dari Poland, tiba di Australia pada 1938 dan mula membina syarikatnya Visy, sebuah syarikat pengeluar kotak papan lekat antarabangsa dan kini mempunyai lebih 5,000 pekerja.

Ketika bercuti bersama pemain dan pegawai kelab Carlton di Pulau Pinang Januari lepas, Pratt menaiki jet peribadinya ke Kuala Lumpur untuk makan tengah hari dengan Ananda.

Tahun lepas, beliau dianggarkan memiliki kekayaan berjumlah AS$5.48 bilion (RM14.28 bilion) oleh majalah Business Reviw Weekly, menjadikannya orang keempat paling kaya di Australia.

Pratt dikatakan orang yang berjaya memulihkan nasib kelab Carlton dari krisis kewangan dan menjadi presiden kelab tersebut pada Februari 2007.

Kelab tersebut kini menduduki tangga ketiga di kalangan 16 pasukan dalam liga Australia dan akan bertemu juara bertahan Hawthorn Sabtu ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain