suria

Nenek Obama tunai haji bersama keluarga UAE

DUBAI: Nenek Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menerima pelawaan daripada jutawan hartanah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Dr. Sulaiman Al Fahim untuk mengerjakan fardu haji tahun ini, menurut satu laporan.

"Saya dapati beliau tidak pernah mengerjakan haji dan beliau ingin sangat nak pergi.

"Memandangkan ibu kandung saya sudah tiada, keluarga kami ada tempat yang terluang. Saya mempelawa beliau dan beliau menerimanya," Ketua Pegawai Eksekutif Hydra Properties itu dipetik sebagai berkata oleh Arabian Business.

"Saya sangat ternanti-nantikannya," kata Dr Al Fahim, yang penyedia berita perniagaannya dilaporkan bertemu Mama Sarah semasa melawat Kenya minggu lepas.

Dilantik sebagai duta muhibbah bagi menyokong Matlamat Pembangunan Milenium Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu, beliau menjelajah Kenya untuk melancarkan kempen antimalnutrisi di wilayah berkenaan.

"Ini sesuatu yang saya akan lakukan dengan lebih banyak lagi," katanya, sambil mengakui bahawa beliau sangat bertuah kerana kerjaya dan perniagaan miliknya sendiri.

"Saya merasakan sudah tiba masanya untuk menabur bakti dan berusaha melakukan sesuatu untuk golongan kurang bernasib baik," kata Dr Al Fahim dalam laporan Arabian Business itu.

Beliau berkata, rancangan telah pun dibuat untuk menubuhkan sebuah kem latihan bola sepak bagi kanak-kanak kurang bernasib baik di Afrika.

Mendapat pendidikan di New York, Dr. Al Fahim digambarkan sebagai ahli perniagaan Arab era baru namun masih utuh berpegang kepada asal usulnya.

Selain UAE, Hydra Properties terbabit dalam projek di Mexico, Libya dan Pakistan, menurut laman web syarikat berkenaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain