suria

Doktor tetak tangan isteri, sepupu disyaki jalin hubungan sulit

NEW DELHI: Akibat mengesyaki hubungan sulit, seorang doktor yang baru berkahwin enam bulan, menetak tangan isteri dan sepupu isterinya itu, yang dipercayai kekasih wanita berkenaan.

Agensi Berita Indo Asia (IANS) melaporkan doktor terbabit bersama dua orang saudaranya memujuk sepupu itu untuk minum di luar rumah mereka pada Ahad malam di Pattil, sebuah bandar di sempadan Amritsar.

Selepas lelaki itu mabuk, doktor terbabit yang dibantu saudaranya, menetak tangan mangsa menggunakan sebilah pisau.

Doktor itu kemudian bergegas masuk ke rumah dan menetak pula tangan kanan isterinya, yang masih memakai gelang perkahwinan.

Suspek kemudian memasukkan anggota badan itu ke dalam karung guni dan mencampaknya di tempat pembuangan sampah sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.

Wanita itu dan sepupunya dimasukkan ke hospital tetapi doktor gagal menyambung semula anggota badan mereka.

"Anggota badan itu dijumpai semula selepas lebih 12 jam. Ia tidak lagi dapat disambung semula. Jika dijumpai dalam tempoh enam jam pertama selepas insiden itu, kami mungkin dapat menyelamatkan tangan berkenaan," Sukhwinder Singh, seorang doktor yang bertugas di hospital itu, memberitahu IANS.

Polis telah pun menahan suspek dan menyoal siasat mereka. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain