suria

India tingkat pengawasan selesema babi

NEW DELHI: India akan mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyatnya yang ingin keluar negara terutama negara yang dijangkiti wabak selesema babi sebagai langkah mencegah wabak itu daripada menular di India.

Nasihat perjalanan juga akan dikeluarkan kepada mereka yang tiba di India dari destinasi yang terbabit dengan wabak itu dalam tempoh 10 hari lepas.

"Kami akan mengimbas penumpang yang tiba di India dalam tempoh 10 hari lepas dan menasihatkan mereka yang ingin ke kawasan terlibat untuk menangguhkan perjalanan yang tidak penting," kata ketua pengarah Indian Council for Medical Research (ICMR) V.N Katoch kepada pemberita di Delhi hari ini.

"Jika ada kes yang disyaki dikesan di lapangan terbang, kami akan membuat pemeriksaan dan kuarantinkan mereka, jika perlu. Setakat ini tiada kes selesema babi di India. Tapi kami mahu mencegah wabak ini daripada masuk ke India," katanya.

Wabak selesema babi kini dilapor semakin merebak di beberapa buah negara termasuk Mexico dan sehingga kini mencatatkan 81 kematian akibat penyakit itu.

Wabak selesema babi itu turut merebak ke Amerika Syarikat dengan 10 mangsa dikesan dijangkiti setakat ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula memberi amaran wabak yang dianggap semakin mencemaskan itu berpotensi menjadi pandemik dan boleh merebak ke seluruh dunia.

Katoch berkata India akan meningkatkan pengawasan di semua lapangan terbang dan pelabuhan, serta menempatkan pakar perubatan di lapangan terbang utama yang sibuk seperti Chennai, Cochin, Delhi, Hyderabad, Jaipur, Kolkata dan Mumbai.

"Kami mempunyai ubatnya (Tamiflu), satu juta stok simpanan, peralatan perlu dan kakitangan terlatih untuk mengendalikan sebarang kes," katanya.

"Tamiflu" boleh membantu dalam merawat influenza. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain