suria

Enam orang ditembak mati di Selatan Thai

BANGKOK: Enam orang ditembak mati di selatan Thai berikutan suspek pemberontak merusuh dengan melancarkan lebih berpuluh-puluh serangan bagi menandakan ulang tahun kelima insiden Krue Se.

Insiden tembakan itu berlaku di kampung Sukae daerah Yaha, wilayah Yala apabila lelaki yang tidak dikenali melepaskan tembakan ke sebuah rumah kira-kira 8.30 malam semalam.

Seorang jurucakap polis berkata, Ismail Latif, 62, dan dua orang anaknya Yusuf, 36, dan Waining, 33, mati di tempat kejadian sementara seorang lelaki yang dikenali sebagai Tiah meninggal dunia di hospital.

Seorang wanita yang dipercayai ibu kepada Tiah cedera parah.

Ketika insiden itu berlaku, mangsa sedang berehat di rumah dan penembak menggunakan senjata automatik termasuk M16, katanya ketika dihubungi.

Kemudian kira-kira 15 minit, dua lelaki berumur 48 dan 30 ditembak mati di luar sebuah masjid di kampung yang sama.

Pada satu serangan lain semalam pemberontak membakar sekolah, alat penukar voltan litar dan menara petunjuk telefon bergerak di tiga wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat.

Pada 28 April 2004, lebih 100 militan melakukan serangan terhadap berpuluh-puluh pos polis di seluruh wilayah Pattani, Yala dan Songkhla.

Menurut kenyataan rasmi, 107 pemberontak dan lima anggota keselamatan terbunuh dalam pertempuran berdarah sejak kumpulan pemisah memulakan gerakan menuntut kemerdekaan pada Januari 2004.

Kontroversi berlaku setelah askar-askar merusuh ke masjid Krue Se berusia 300 tahun di Pattani dan menembak mati 32 orang yang bersembunyi di dalamnya.

Ramai penduduk tempatan dan banyak pertubuhan hak asasi manusia menyatakan peningkatan keganasan di wilayah selatan itu akibat insiden tersebut serta tragedi Tak Bai pada 25 Oktober, 2004 apabila 78 Muslim diletakkan bertindih-tindih di belakang sebuah trak tentera setelah ditangkap, mati apabila konvoi tentera tiba di kem tentera di Pattani.

Lebih 3,500 terkorban sejak lima tahun lepas berikutan pasukan keselamatan Thai berjuang untuk mematahkan konflik tentera tersebut walaupun penghantaran kira-kira 60,000 anggota keselamatan ke wilayah sempadan selatan itu.

Wilayah yang bertutur bahasa Melayu itu, yang pada suatu ketika diperintah oleh kesultanan Pattani sebelum dirampas oleh penganut Buddha Thailand, telah bersengketa dengan kerajaan Thai lebih sedekad lamanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain