suria

“Bangunlah, jom main bola” - 55 hari koma, budak 8 tahun sedar lepas dengar suara rakan sekelas

Kanak-kanak itu akhirnya sedar selepas koma selama 55 hari. -Foto CCTV

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang koma selama 55 hari akhirnya sedar selepas dipanggil dengan penuh perasaan oleh rakan sekelasnya menerusi rakaman video.

Menurut laporan media China, Liu Chuxi, seorang murid dari Yueyang di wilayah Hunan, koma selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada November tahun lalu.

Dia mengalami kecederaan otak dan paru-paru yang teruk akibat kemalangan tersebut.

Doktor memaklumkan kepada keluarganya peluang untuk dia sedar semula adalah amat tipis.

Doktor juga memaklumkan bunyi yang biasa didengar atau muzik kegemaran boleh merangsang bahagian tertentu otak dan berpotensi menyedarkan pesakit.

Ibunya dan seorang guru kemudian mengatur rakan-rakan sekelas kanak-kanak itu untuk merakam video penuh emosi bagi memberi kata-kata semangat kepadanya.

Dalam satu video, seorang murid lelaki berkata: “Bangunlah, jom main bola.”

Seorang murid perempuan pula berkata: “Kami semua rindukan kamu. Jika kamu boleh dengar kami, tolong buka mata. Peperiksaan akan tiba dan kami menunggu kamu kembali untuk belajar bersama.”

ARTIKEL BERKAITAN: Mahasiswa tahun pertama koma dipukul 4 senior ketika minggu orientasi

Seorang lagi murid menyanyikan lagu kegemaran Liu menerusi video yang dihantar kepada ibunya.

Ibu Liu memainkan video tersebut serta rakaman pengajaran Matematik daripada gurunya di sisi katil setiap hari.

Selepas 45 hari koma, Liu menunjukkan reaksi dengan menggerakkan kelopak matanya dan beberapa hari kemudian, dia tersenyum apabila mendengar suara gurunya.

Pada hari ke-55, dia sedar sepenuhnya dan mampu menggerakkan tangan kiri.

Guru dan rakan sekelasnya kemudian melawat Liu di hospital sambil membawa mainan dan kad ucapan.

“Akhirnya saya melihat matahari di sebalik awan. Keajaiban benar benar berlaku," ujar ibu Liu yang gembira dan bersyukur dengan perkembangan positif anaknya.

Keadaan kesihatan kanak-kanak itu semakin baik, namun dia masih perlu melalui tempoh pemulihan yang panjang.

Kisah Liu memberi inspirasi kepada ramai pengguna media sosial di China, dengan video berkaitan meraih lebih 10 juta tontonan. -Agensi

 

Artikel Lain