Orang ramai perlu berhati-hati ketika menggunakan peralatan memasak ketika berkelah. -Gambar hiasan AI
LIMA individu termasuk dua kanak-kanak cedera akibat letupan gas ketika aktiviti barbeku (BBQ) di sebuah taman percutian popular pada pagi Sabtu.Kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 7.30 pagi di BIG4 Ingenia Holidays Park, Lake Conjola di Pantai Selatan New South Wales, Australia. Selepas menerima laporan, pasukan kecemasan termasuk paramedik segera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa. Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dikejarkan ke Hospital Wollongong akibat kecederaan di bahagian muka.Seorang lagi mangsa wanita berusia 30-an menerima rawatan di Hospital Memorial Shoalhaven akibat kecederaan perut.Tiga lagi mangsa, termasuk dua kanak-kanak berusia bawah lima tahun hanya mengalami kecederaan ringan.Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan kawasan barbeku musnah teruk dengan serpihan logam dan barangan peribadi bertaburan di sekitar lokasi.Seorang saksi kejadian menggambarkan detik cemas tersebut dengan berkata dia sedang duduk di balkoni sebelum terdengar satu letupan kuat secara tiba-tiba.Menurut saksi itu lagi, sebuah keluarga yang sedang bercuti dipercayai sedang menyediakan sarapan menggunakan kemudahan barbeku ketika letupan berlaku.Jurucakap NSW Ambulance mengesahkan kejadian itu masih dalam siasatan dan operasi kecemasan masih diteruskan, lapor Nine News. -Agensi