SEORANG remaja lelaki berusia 13 tahun dilaporkan maut selepas makan tiga bungkus mi segera jenama popular yang belum dimasak.
Mangsa dikenali sebagai Hamza, dikatakan jatuh sakit selepas pulang dari kelas hafazan al-Quran di daerah El-Marg, Kaherah, Mesir pada 16 Ogos lalu.
Menurut bapa Hamza, anaknya mula muntah, berpeluh dan mengalami sakit perut teruk kurang setengah jam selepas makan mi segera berkenaan dalam keadaan mentah.

Hamza (kiri) meninggal dunia selepas makan tiga bungkus mi segera mentah.
Mangsa dibawa ke hospital sebelum doktor mengesyaki berlaku keracunan dan mengarahkan supaya dipindahkan ke pusat toksikologi.
Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia dalam ambulans selepas usaha menyelamat gagal dan bedah siasat turut dilakukan untuk mencari punca kematian.
Pihak pendakwaan Mesir mengarahkan siasatan segera termasuk menahan pemilik kedai yang menjual produk tersebut selain mengambil sampel mi untuk ujian makmal. -Agensi


