HASRAT sebuah keluarga untuk kembali bersatu dan memulakan kehidupan baru di London tidak kesampaian apabila mereka terkorban dalam nahas pesawat Air India di Ahmedabad, India pada Khamis.
Menerusi gambar swafoto yang diambil sebelum pesawat berlepas, pasangan suami isteri bersama tiga anak mereka kelihatan ceria.
Swafoto tersebut diambil oleh Dr Prateek Joshi yang duduk bersebelahan isterinya, Dr Komi Vyas di dalam pesawat Boeing 787-8 Dreamliner sebelum meletup.
Manakala anak mereka, pasangan kembar lelaki berusia lima tahun, Nakul dan Pradyut, serta anak perempuan berusia lapan tahun, Miraya duduk di kerusi bersebelahan tingkap dalam barisan sama.
Difahamkan, Dr Komi baru sahaja meletakkan jawatan sebagai pengamal perubatan di sebuah hospital di Udaipur untuk berpindah ke London dan tinggal bersama suami yang menetap di sana.
Menurut jurucakap Hospital Pacific, keputusan tersebut dibuat Dr Komi selepas sekian lama berjauhan sebagai pasangan perhubungan Jarak jauh (PJJ).
Malangnya, impian pasangan yang sudah berumah tangga selasa 10 tahun itu musnah apabila pesawat dinaiki meletup selepas 32 saat berlepas pada pukul 1.38 tengah hari waktu tempatan.
Penerbangan AI171 itu dalam perjalanan dari Ahmedabad ke London dan membawa 242 orang termasuk kru dan juruterbang.
Setakat petang Khamis, hanya seorang mangsa dilaporkan terselamat iaitu Vishwash Kumar Ramesh, 40, seorang rakyat Britain berketurunan India.
Siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas. -Agensi