SEORANG pempengaruh media sosial berdepan detik cemas apabila diekori seorang lelaki tidak dikenali ketika bersendirian di dalam hutan.
Wanita warga Poland itu, Kasia yang mempunyai lebih 13,000 pengikut di Instagram berkongsi video dirinya diekori seorang lelaki tidak dikenali sewaktu menuruni trek gunung secara solo baru-baru ini.
Kejadian yang dilaporkan berlaku di Himachal Pradesh, India itu meraih perhatian warga maya yang rata-rata mempersoalkan keselamatan wanita di negara itu.
Sangkaannya meleset apabila menganggap lelaki berkenaan mahu mengambil gambar dengan dirinya.
Meluahkan tidak lagi ingin berselfie dengan mana-mana individu tidak dikenali, lelaki terbabit bagaimanapun dilihat memaksanya lalu menjerit dalam bahasa Hindi.
Dia yang berasa terancam mula merakam situasi tersebut.
"Saya tidak mahu ambil gambar dengan anda. Bolehkah anda berhenti mengikut saya? Saya tidak suka," tegasnya.
Menyedari kamera dituju ke arahnya, lelaki itu kemudian berundur.
"Jangan jadi seperti lelaki ini. Mengekori perempuan di dalam hutan tidak dapat diterima sama sekali.
"Saya bukan haiwan di zoo untuk dilihat dan diambil gambar. Kepada segelintir lelaki India, jangan jadi seseorang yang menyeramkan.
"Kami, wanita asing tidak mahu terasa seperti daging. Merenung tidak akan membuat kami ingin bercakap dengan anda. Saya bukan sebuah objek, biarkan saya," kata Kasia. -Agensi


