HASRAT bermain masak-masak bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak melecur hampir keseluruhan badan akibat kecuaian rakan sendiri.
Ketika kejadian, mangsa berusia 10 tahun itu dikatakan keluar membeli makanan secara kebetulan diajak empat rakannya untuk mencari ikan di sungai.
"Mereka memasak hasil tangkapan tersebut dan seorang daripadanya menambah metanol pada api secara beterusan agar tidak padam," kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Situbondo, AKP Agung Hartawan.
Malang tidak berbau, mangsa dipercayai terkena sambaran api sehingga mengakibatkan dirinya terbakar.
Kejadian dipercayai berlaku di Situbondo, Jawa Timur, Indonesia, pada Isnin lalu.
Rakan-rakannya berusaha memadamkan api dengan menyimbah air air di bahagian kepala, dan kemudian jeritan mangsa didengari ibu bapa mereka bertindak menepuk api pada badannya.
Hasil siasatan mendapati kanak-kanak malang itu melecur teruk di bahagian muka, kedua-dua tangan dan badan.
Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital.
Kes dirujuk kepada Penyiasat Wanita dan Kanak-Kanak Unit Penyelidikan Jenayah (Satreskrim) Polis Situbondo dan semua kanak-kanak serta ibu bapa mereka dipanggil bagi memberi keterangan. -Agensi


