KESEMPITAN hidup membuatkan seorang ibu tunggal berusia 33 tahun terpaksa menjual organnya.
Malah, wanita berkenaan memuat naik foto anak lelakinya berusia setahun di laman sosial Facebook untuk mencari keluarga angkat buat anaknya itu.
"Ada sesiapa berminat nak ambil anak angkat? Saya tak mampu lagi menyaranya, sudah tiga hari dia tiada susu untuk minum.
"Saya belum pernah membeli apa-apa untuknya, rumah pun tiada. Semua baju dan barang kepunyaannya adalah hasil sumbangan orang ramai," luahnya.
Wanita itu dikatakan menghidap beberapa penyakit dan tidak mahu melihat anaknya hidup susah.
Ibu tunggal itu hanya mampu memberikan air soya kepada anaknya. -Foto Naewna
Dia terfikir untuk menjual organ sebagai jalan terakhir, semata-mata mahu anaknya menikmati kehidupan yang baik seperti kanak-kanak lain.
Dalam pada itu, warga maya yang terkesan dengan kisahnya terus menjejaki alamatnya bagi menghulurkan sumbangan, termasuk makanan, barangan keperluan bayi serta duit.
Dia mendedahkan turut dihubungi seorang individu dari luar negara yang berminat membeli hatinya selain sanggup menanggung kos perjalanan bagi menjalani pembedahan di sana.
Namun kerana bimbang tentang risiko kematian dan tidak dapat melihat anaknya membesar, dia kemudian membatalkan hasratnya itu dan kini merancang mencari pekerjaan meskipun belum pulih daripada kemalangan yang dialaminya sebelum ini. -Agensi


