suria

Masih pening fikir kos untuk memiliki anak? Ini 3 perkara suami isteri perlu tahu supaya tak ‘sesak nafas’ sampai hujung bulan

Suami isteri perlu bijak rancang kewangan selepas menimang cahaya mata. -Gambar hiasan AI

MENIMANG cahaya mata merupakan satu detik yang sangat bermakna dalam kehidupan berumah tangga. 

Namun, selain emosi yang penuh keterujaan, ia juga datang dengan tanggungjawab besar terutamanya daripada sudut kewangan.

Ramai pasangan muda mengambil mudah hal ini dengan beranggapan ‘rezeki anak akan datang bersama’. 

Walaupun benar setiap anak membawa rezekinya sendiri, mereka bertanggungjawab untuk memastikan keperluan asas si cilik dapat disediakan dengan baik.

Berikut ialah beberapa kos penting yang sering tidak dijangka oleh pasangan selepas menyambut kelahiran anak pertama serta cadangan untuk berjimat.

1. Hamil dan bersalin

Kos bermula seawal fasa kehamilan seperti pemeriksaan bulanan, imbasan bayi dan ubat-ubatan yang boleh menelan belanja besar jika dilakukan di fasiliti swasta.

Sebagai langkah penjimatan, lakukan pemeriksaan di hospital kerajaan.

Malah, anda juga digalakkan untuk bersalin di hospital kerajaan.

Barang keperluan bayi boleh mencecah ratusan ringgit sebulan. -Gambar hiasan AI

2. Keperluan bayi

Set lampin pakai buang, pakaian, botol susu, stroller, dan car seat antara keperluan asas yang perlu disediakan. 

Untuk berjimat, beli secara borong atau semasa promosi.

Anda juga boleh membeli barang secara berperingkat sejak bulan pertama kehamilan.

Selain itu, anda juga boleh membeli barangan preloved yang masih dalam keadaan baik.

Antara lain, boleh juga minta keluarga dan rakan rapat sumbangkan barangan bayi yang tidak digunakan lagi.

Kehadiran cahaya mata menjadi penyeri dalam rumah tangga. -Gambar hiasan AI

3. Kos lain

Selepas kelahiran anak, bil elektrik, air, dan kos makanan juga akan meningkat. 

Penggunaan mesin basuh, pemanas susu, dan penghawa dingin (terutama untuk bayi) menyumbang kepada peningkatan bil bulanan.

Sebaiknya, gunakan peralatan elektrik cekap tenaga.

Jika suami isteri bekerja, bandingkan beberapa pusat jagaan untuk mendapatkan harga yang munasabah.

Sesetengah majikan turut menawarkan subsidi penjagaan anak, jadi semak dengan bahagian Sumber Manusia (HR).

Tapi jika ada ahli keluarga yang sanggup menjadi pengasuh, itu mungkin opsyen yang lebih baik dan menjimatkan.

Artikel Lain