MEMBELI sesuatu benda yang mahal sudah tentu boleh menyebabkan anda kehabisan wang.
Namun, ramai tidak sedar perbelanjaan kecil yang berulang setiap hari juga boleh menyebabkan wang berkurang tanpa disedari.
Ibaratnya, nilai nampak tak seberapa, tapi apabila dihitung-hitung pada hujung bulan, jumlahnya boleh mencecah ratusan ringgit.
Inilah yang dipanggil sebagai ‘silent killer’ dalam kewangan peribadi.
1. Minuman
Sesetengah individu bagaikan 'tak boleh hidup' tanpa kopi.
Kononnya, kopi dianggap sebagai pembakar semangat untuk memulakan pekerjaan pada waktu pagi.
Namun, sesetengah jenama menjual kopi pada harga mencecah belasan dan puluhan ringgit.
Selain kopi, ramai juga yang gemar menghirup minuman 'fancy' sebagai ganjaran untuk diri.
Jika dihitung, jumlah perbelanjaan minuman ini boleh mencecah sehingga ratusan ringgit sebulan.
Sebagai langkah penjimatan, kurangkan kekerapan membeli minuman ini.
Selain dapat menjimatkan wang, ia juga boleh mengurangkan kadar pengambilan gula anda.
Ramai anak muda membayar langganan Netflix untuk menonton filem. -Gambar hiasan AI
2. Langganan hiburan
Ramai yang melanggan platform penstriman seperti Netflix dan Spotify untuk menonton filem atau mendengar muzik.
Namun jika anda seorang yang sibuk dan jarang menggunakan platform-platform ini, maka lebih baik hentikan sahaja langganan.
Ini sekali gus dapat mengurangkan komitmen anda kerana kadar langganan perlu diperbaharui dan dibayar setiap bulan.
3. Beli belah dalam talian
Banyak barang ditawarkan pada harga murah di platform beli belah dalam talian.
Harganya memang murah, tetapi apabila kita membeli beberapa item berbeza, maka jumlah keseluruhan akan melambung juga.
Perlu diingat, setiap barang yang dibeli juga akan dikenakan caj penghantaran.
4. Makanan
Ramai individu menggunakan platform Foodpanda dan Grab untuk membeli makanan.
Dengan cara ini, mereka tidak perlu keluar dan makanan akan dihantar oleh rider ke pintu rumah.
Di sebalik kemudahan ini, ia sebenarnya menelan banyak belanja kerana anda perlu menanggung kos makanan dan penghantaran.
5. Caj ATM
Caj untuk mengeluarkan wang di mesin juruwang automatik (ATM) memang murah.
Namun, jika anda mengeluarkan wang secara berulang kali dengan kerap, pastinya nilai itu boleh bertambah.
Bayangkan jika anda menggunakan mesin ATM sehingga 15 kali dalam sebulan.
Sebagai opsyen, keluarkan terus jumlah yang anda perlukan bagi mengurangkan kekerapan menggunakan ATM.