KEDENGARAN mustahil, tapi seorang suri rumah membuktikan dia mampu berbelanja sebanyak RM175 sebulan bagi membeli barang dapur untuk kegunaan seisi keluarga.
Menariknya, Nabila Nayan berjaya mempelbagaikan menu untuk dihidangkan kepada keluarga sungguhpun dia mengamalkan perbelanjaan berhemah.
"Ramai yang pelik macam mana saya boleh survive dengan belanja dapur RM175 sebulan. Tapi kami memang jenis berjimat sebab hanya suami bekerja.
"Saya masak setiap hari dan semua bahan mentah memang saya bajet betul-betul," jelasnya.
Antara barang basah dibeli suri rumah ini setiap bulan untuk dimasak setiap bulan.
Berikut cara pengurusan kewangan dapur digunakan Nabila yang boleh dijadikan inspirasi buat para ibu dan isteri:
1. Bajet belanja dapur sebulan RM175
Antara bahan utama yang dibeli termasuk:
a. Ayam dua ekor (2.3 kilogram (kg) ke atas, potong 16)
b. Tulang, ekor lembu dan tetel (ikut menu mingguan)
c. Sotong kecil setengah kg
d. Udang besar setengah kg
e. Pelbagai jenis ikan (siakap, tongkol, kerisi, kembung dan keli)
Setiap pembelian dibuat wanita ini adalah dengan perancangan rapi bukan sekadar timbang kilo, tapi kiraan ikut jumlah hidangan.
2. Ayam: Potong, bahagi dan label
Nabila memotong lagi sekali ayam dibeli kepada bahagian lebih kecil untuk beberapa kali masakan.
Contohnya, satu plastik berisi 6 ketul ayam akan digunakan untuk masakan pagi (bekalan suami ke tempat kerja) dan juga untuk makan tengah hari.
Jika perlu, plastik untuk malam pula digunakan, namun semuanya sudah dilabel terlebih dahulu.
3. Ikan, udang dan sotong
Kira jumlah berapa ekor, bukan mengikut timbangan kilo.
Kaedah sama diguna untuk sotong dan ikan. Dengan kiraan ketul atau ekor, lebih mudah kawal penggunaan dan elak pembaziran.
4. Pelbagaikan menu, guna bahan dengan kreatif
Selain lauk utama seperti ayam atau ikan, Nabila juga selitkan menu lain seperti telur masak kicap, sambal, sup dan sayur untuk elakkan rasa jemu serta seimbangkan nutrisi keluarga.
Nabila menyediakan menu yang pelbagai agar keluarga tidak jemu dengan masakan sama.
5. Masak ikut keperluan, elak membazir
Setiap kali masak, dia akan perhatikan keperluan makan suami dan anak.
Contohnya, jika suami hanya makan dua ketul lauk, maka masakan akan disesuaikan dengan kuantiti itu sahaja.
Dengan RM175, wanita ini membuktikan bahawa keluarga kecilnya masih boleh menikmati makanan yang enak dan mencukupi, tanpa perlu berbelanja besar setiap bulan.
Bagi ibu-ibu yang ingin berjimat dalam keadaan ekonomi sekarang, cara ini bukan sahaja praktikal tapi juga mendidik kita untuk lebih menghargai rezeki dan elak pembaziran.