suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Dah gosok gigi 3 kali sehari pun tetap busuk! Doktor dedah punca mulut berbau, ramai buat 7 kesilapan ini

Penjagaan mulut dengan baik dan betul dapat mengelakkan nafas berbau. -Gambar hiasan AI

MULUT berbau pasti akan menjejaskan keyakinan diri sesiapa sahaja.

Bagi yang telah mengamalkan tip penjagaan mulut dengan baik tapi masih mengalami masalah nafas berbau, situasi tersebut sememangnya memeningkan kepala.

Lebih menambah buntu apabila segala jenis produk penjagaan mulut seperti ubat kumur dan semburan mulut seolah-olah tidak memberi kesan berpanjangan.

Masalah yang dihadapi kebanyakan individu itu membuatkan seorang doktor pergigian berkongsi cara untuk mengatasinya.

Menurut Dr Amir Harris, nafas berbau bukan semata-mata berpunca daripada sisa makanan yang tersangkut di celah gigi, sebaliknya kebanyakan kes disebabkan bakteria yang berkumpul pada lidah, celah gigi dan gusi.

Jelasnya, bakteria tersebut akan menguraikan sisa protein dalam mulut lalu menghasilkan gas sulfur yang menjadi punca utama bau mulut.

Berikut merupakan beberapa langkah mudah yang boleh diamalkan setiap hari bagi membantu mengurangkan masalah berkenaan.

1. Floss sebelum memberus gigi

Ramai tidak menyedari berus gigi tidak mampu membersihkan keseluruhan celah gigi. Penggunaan floss membantu menanggalkan plak dan sisa makanan di kawasan yang sukar dicapai sekali gus mengurangkan pembiakan bakteria.

2. Gosok gigi sekurang-kurangnya dua minit

Ramai menyangka mereka sudah memberus gigi dalam tempoh yang lama, sedangkan langkah yang dilakukan itu tidak sampai seminit. 

Oleh itu, luangkan sekurang-kurangnya dua minit bagi memastikan semua permukaan gigi dibersihkan.

Penggunaan pembersih lidah dapat membantu mengatasi nafas berbau. -Gambar hiasan AI

Penggunaan pembersih lidah dapat membantu mengatasi nafas berbau. -Gambar hiasan AI

3. Jangan abaikan lidah

Lidah merupakan antara kawasan yang paling banyak menjadi tempat bakteria berkumpul. 

Gunakan pembersih lidah bagi membersihkan bahagian permukaannya dengan lebih efektif.

Ia sekali gus dapat menyingkirkan plak dan sel mati yang boleh menyebabkan nafas berbau.

4. Ludah, jangan terus berkumur

Selepas memberus gigi menggunakan ubat gigi berfluorida, sebaiknya ludahkan lebihan buih tanpa terus berkumur. 

Ini kerana berkumur boleh mengurangkan lapisan fluorida yang berfungsi melindungi gigi.

ARTIKEL BERKAITAN: Janganlah malu! Nafas berbau ‘tajam’ ketika puasa berita gembira... Tubuh sedang bakar lemak degil

5. Gunakan ubat kumur jika perlu

Ubat kumur boleh membantu mengawal bau mulut, namun ia bukan pengganti kepada rutin memberus gigi dan menggunakan floss. 

Sehubungan itu, pilih produk yang bersesuaian mengikut keperluan seperti masalah gusi atau perlindungan tambahan terhadap gigi.

6. Pastikan mulut sentiasa lembap

Air liur memainkan peranan penting membersihkan bakteria secara semula jadi. Jika mulut sering kering, bakteria lebih mudah membiak dan menyebabkan bau mulut. Mengunyah gula-gula getah tanpa gula juga boleh membantu merangsang penghasilan air liur ya.

7. Dapatkan khidmat nasihat doktor jika masalah berterusan

Jika sudah mengamalkan semua langkah tersebut tetapi nafas masih berbau, ia mungkin menjadi petanda penyakit gusi, kaviti, mulut kering atau masalah kesihatan lain.

Anda yang berhadapan situasi ini, jangan lupa dapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut daripada doktor gigi.

Artikel Lain