suria

Tiada jalan mudah... Wanita ini anak Malaysia pertama bergelar penata gaya jenama pakaian lelaki di New York

Nur Liyana bergelar wanita pertama apabila diterima bekerja sebagai penata gaya dibawah label Proper Cloth di Amerika Syarikat.

NUR Liyana Mohd Radzi baharu berusia 17 tahun ketika dia mengenali pereka fesyen terkenal Amerika Syarikat, Thom Browne.

Dia cukup terpesona bagaimana pereka fesyen itu menzahirkan definisi konvensional tentang maskulin dan feminin dalam setiap rekaannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bungkusan BTS Meal jadi kasut!... Idea kreatif si penata gaya ini dianggap genius

"Tanpa ragu dia adalah pereka kegemaran saya, kempennya yang menampilkan lelaki dan wanita berdampingan dengan rekaan yang sama namun masih mempunyai kelainan dan keindah tersendiri mengagumkan saya.

"Rekaannya cukup sempurna membuatkan pandangan saya terhadap dunia pakaian lelaki meskipun dia adalah pereka fesyen pakaian lelaki dan wanita.

"Sejak itu saya menerapkan elemen pakaian lelaki ke dalam gaya peribadi saya kerana percaya ia adalah untuk semua dalam mengekspresi diri," katanya kepada The Star.

Nur Liyana 2

Nur Liyana baharu sahaja menamatkan pengajian di Fashion Institute of Technology (FIT) di Amerika Syarikat pada Mei tahun lalu.

Hari ini Nur Liyana, 25, adalah seorang penata gaya di Proper Cloth iaitu sebuah jenama e-dagang pakaian lelaki yang ditubuhkan pada 2008 di New York, Amerika Syarikat. Istimewanya mengenai jenama itu, kesemua rekaannya adalah berdasarkan tempahan khas.

Tidak hanya berjaya mengejar impiannya di bumi asing, Nur Liyana juga bergelar wanita pertama memegang jawatan itu di syarikat tersebut menumpaskan 145 calon lain tahun lalu.

Nur Liyana baharu sahaja menamatkan pengajian pada Mei 2020 di Fashion Institute of Technology (FIT) ketika dunia sedang dilanda pandemik.

Seperti kebanyakan graduan lain, dia sendiri turut berasa bimbang sekiranya gagal mendapatkan pekerjaan memandangkan banyak syarikat gulung tikar dan menangguhkan pengambilan pekerja baharu.

Bagaimanapun, FIT telah menawarkannya peluang mencari pengalaman dengan bertugas sebagai krew untuk label antarabangsa ketika Minggu Fesyen New York.

Saya berbangga dan merendah diri menjadi wanita pertama memegang jawatan itu di syarikat itu.

NUR LIYANA MOHD RADZI

PENATA GAYA PROPER CLOTH

Tidak hanya itu, Nur Liyana juga banyak mengambil peluang bekerja sebagai pelatih di beberap jenama mewah pakaian lelaki dan penerbitan.

"Sebagai pelajar asing di Amerika, peluang bekerja terbatas apatah lagi saya masih menuntut, oleh sebab itu kebanyakan pengalaman saya dalam industri fesyen datang daripada sebagai pelatih.

"Saya sengaja mendapatkan pelbagai jenis latihan kerana saya ingin mempelbagaikan pengetahuan saya tentang pakaian lelaki daripada pelbagai sumber dalam industri.

"Bagaimanapun minat saya sentiasa dalam bidang kreatif iaitu sebagai penata gaya," kongsinya.

Meskipun baharu sahaja menamatkan pengajian, namun Nur Liyana memberitahu dia cukup bersemangat untuk bekerja bagi membuktikan kemampuannya selain membua keluarganya berasa bangga.

Proper Cloth

Butik Proper Cloth yang terletak di 5th Avenue di New York.

Sebelum mendapat pekerjaan di FIT, dia juga memberitahu pernah menghantar pelbagai permohonan di syarikat lain namun tidak mendapat sebarang balasan.

Apabila mengetahui syarikatnya kini membuka peluang latihan industri, Nur Liyana tanpa ragu-ragu memohon dan diterima.

Hanya selepas tiga bulan menjalani latihan, pihak pengurusan menawarkannya jawatan sepenuh masa dan sejak itu dia menjadi salah seorang daripada dua penata gaya di FIT.

"Tugas saya adalah untuk menghasilkan gaya untuk kempen selain rekaan baharu yang dikeluarkan. Sebahagian daripada tugas saya adalah untuk memahami sasaran pelanggan, jenis penampilan yang menarik minat pembelim warna sesuai dengan model dan sebagainya.

"Tugas saya berkisar tentang penggayan produk, model serta menggayakan produk di ruang pameran yang terletak di 5th Avenue," jelasnya.

Thom Liyana

Nur Liyana cukup mengagumi pereka fesyen terkenal Thom Browne.

Nur Liyana memberitahu dia merasakan sumbangan terbesarnya sebagai penata gaya adalah sudut pandangannya terhadap pakaian lelaki sebagai seorang wanita.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Saya berbangga dan merendah diri menjadi wanita pertama memegang jawatan itu di syarikat itu. Banyak perkara yang saya belajar dengan hanya memerhati pasukan malah saya diberi kebebasan untuk mengekspersikan pandangan saya tentang gaya," katanya.

Meskipun berjaya menjalani kehidupan impiannya, Nur Liyana memberitahu industri fesyen turut menerima tamparan hebat akibat pandemik dan masih dalam proses pemulihan.

"Tetapi satu hal yang terbukti adalah bagaimana daya tahan industri ini dengan menyesuaikan diri dengan keperluan pengguna. Penjualan pelitup muka adalah penyelamat bagi banyak jenama.

"Dapat melihat sendiri industri ini menyesuaikan diri dengan perubahan drastik ini benar-benar merupakan pengalaman yang tidak ternilai," ujarnya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain